Bangladesh Mohon Kepakaran Malaysia Rancakkan Eksport Halal Ke Asia Tenggara
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bangladesh mahu memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal dan piawaian pengawalseliaan bagi memperkukuh ekosistem halalnya serta memperluas eksport produk halal ke pasaran Asia Tenggara.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata, Bangladesh berhasrat meningkatkan kerjasama dengan institusi Malaysia terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bagi membina keupayaan teknikalnya dalam pensijilan halal.
“JAKIM bersedia untuk menyokong kami. Kami memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek bagi membangunkan keupayaan teknikal kami untuk pensijilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual menerusi program Bernama Mobile Studio bertajuk ‘Penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dan Perdagangan Halal Global’, di sini hari ini.
Manjurul menyatakan pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem halalnya khusus dalam pensijilan, rangka kerja kawal selia dan keupayaan industri, memberikan pengajaran berharga buat Bangladesh dalam usahanya memperkukuh kedudukan di pasaran halal global.
Selain itu, katanya, Malaysia boleh bertindak sebagai pintu masuk bagi pengeluar dari Bangladesh untuk menembusi pasaran Asia Tenggara.
Penyertaan dalam MIHAS menyediakan peluang untuk menjalin hubungan perniagaan dan memahami keperluan pasaran bagi menjadi pemain utama dalam sektor berkenaan.
Menerusi MIHAS, beliau berkata pengekspot Bangladesh boleh memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenai jangkaan pembeli, kualiti produk, kebolehkesanan, pembungkusan dan piawaian utama yang lain.
Manjurul menambah Bangladesh melihat potensi untuk mempelbagaikan industri halalnya melebihi sektor makanan dan minuman kepada farmaseutikal, penjagaan kesihatan, penjagaan kulit dan kosmetik seiring dengan peningkatan kesedaran pengguna.
“Industri farmaseutikal kami sedang meningkat. Ia merupakan sektor yang kukuh... kami mengeksport ke 157 buah negara, tetapi kami juga memberi tumpuan kepada bidang halal. Itu merupakan satu bidang yang sedang berkembang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa asas pengguna Islam domestik Bangladesh yang besar menyediakan landasan kukuh bagi syarikat-syarikat tempatan untuk membangunkan produk sebelum mengembangkannya ke peringkat antarabangsa.
Sebanyak enam syarikat Bangladesh menyertai MIHAS 2026 dengan sokongan kewangan daripada Biro Promosi Eksport negara berkenaan.
Syarikat-syarikat itu meliputi sektor makanan dan syarikat farmaseutikal iaitu Apex Convenience Foods Ltd, Ghore Bazaar, Paragon Agro Ltd, Talukdar Agro Foods and Beverage, Nourish Foods Ltd dan Biopharma Ltd.
Manjurul turut memaklumkan penyertaan ini bertujuan membantu pengeluar Bangladesh memperoleh pengetahuan dan pengalaman pasaran selain meningkatkan kesediaan mereka untuk bersaing di peringkat global.
Mengenai pengiktirafan pensijilan, beliau menegaskan JAKIM mengiktiraf Islamic Foundation of Bangladesh sambil menambah badan kawal selia yang berwibawa amat penting bagi memastikan penerimaan yang lebih meluas di peringkat antarabangsa.
“Apabila anda mengeluarkan sijil, sijil anda perlu diterima secara meluas oleh negara lain dan pengguna. Di sini, badan kawal selia memainkan peranan yang sangat penting. Sebab itulah kami cuba meningkatkan kerjasama kami dengan institusi Malaysia seperti JAKIM dan HDC,” katanya.
Beliau seterusnya memberitahu hubungan perdagangan halal adalah saling menguntungkan.
Katanya, Bangladesh juga merupakan pasaran import yang semakin berkembang bagi makanan, minuman dan bahan mentah halal dari Malaysia termasuk minyak sawit.
Selain menggesa pengeluar Bangladesh memberi tumpuan kepada kualiti dan kebolehkesanan serta memenuhi kehendak pembeli, Manjurul turut menyatakan keyakinannya terhadap prospek masa depan.
“Saya fikir Bangladesh mempunyai masa depan yang sangat cerah dalam industri halal,” katanya sambil menambah bahawa syarikat yang menyertai MIHAS mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi pemain serantau yang kukuh.
-- BERNAMA
RKMS KIK SPSA MAN