Malaysia Airlines Meterai Tiga MoU, Perkukuh Hubungan Dengan Pasaran China
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan Huawei, Weixin Pay, dan TravelSky Technology Ltd, bagi memperkukuh kehadiran digitalnya di China, sambil memperkasa kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Malaysia dan rantau yang lebih meluas.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, kerjasama tersebut merangkumi beberapa platform digital, penglibatan pelanggan dan pengedaran.
Ini sekali gus menyokong integrasi yang lebih mendalam dalam ekosistem yang digunakan secara meluas oleh pengguna di China, selain meningkatkan jangkauan pasaran tempatan syarikat penerbangan tersebut.
“Kerjasama ini akan memberi kemudahan kepada pengembara untuk mengetahui dan menempah perkhidmatan Malaysia Airlines, mengakses maklumat perjalanan yang relevan serta berinteraksi dengan syarikat penerbangan itu menerusi saluran yang biasa digunakan.
“Pada masa sama, ia memperluaskan pengalaman pelanggan melangkaui lapangan terbang hingga ke platform digital iaitu tempat perancangan perjalanan bermula.
“Secara keseluruhannya, perkembangan ini mencerminkan pendekatan Malaysia Airlines yang lebih menyeluruh terhadap pasaran China, sekali gus meningkatkan jangkauannya, mengukuhkan kesalinghubungan dan memperkasa peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk antara China dan rantau yang lebih meluas,” katanya.
Menurut syarikat penerbangan itu lagi, ia terus menyaksikan permintaan yang kukuh merentasi rangkaiannya di China dengan lebih 600,000 penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangannya di China pada separuh pertama 2026, iaitu 27 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan purata faktor muatan sebanyak 84 peratus.
Syarikat penerbangan itu menjangkakan membawa lebih 52,000 penumpang bagi perkhidmatan ke dan dari China semasa tempoh cuti ‘Minggu Emas’ yang akan datang (26 September – 11 Oktober 2026), yang mewakili peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Nasaruddin A Bakar berkata China merupakan pasaran pertumbuhan utama bagi Malaysia Airlines, dan pengembangan rangkaiannya ke sembilan pintu masuk mencerminkan keyakinan terhadap potensi jangka panjangnya.
“Memandangkan MAG memasuki fasa pertumbuhan seterusnya di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), kami akan terus meletakkan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya, selain melabur dalam rangkaian, armada, keupayaan operasi dan perkongsian yang relevan dengan pasaran tempatan bagi memenuhi keperluan pengembara dari China secara besar-besaran.”
“Berpandukan semangat 'Malaysian Hospitality', kami kekal komited untuk merapatkan hubungan antara orang ramai dan destinasi di seluruh China, Malaysia serta rantau yang lebih meluas," tambah beliau.
-- BERNAMA