PM Anwar Tegaskan hubungan Malaysia-China Berasas Kepercayaan Kukuh, Puji Kepimpinan Presiden Xi 

Daripada Harlina Samson

HANGZHOU, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan     bahawa kepercayaan yang telah lama terbina serta keyakinan bersama menjadi asas kepada hubungan dua hala Malaysia-China, sambil menyifatkan kerjasama itu melangkaui hubungan diplomatik tradisional.

Anwar ketika berucap pada pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang menegaskan bahawa Malaysia amat mementingkan hubungan dengan Beijing dan visi Presiden Xi Jinping, terutama berkaitan kemakmuran bersama, tadbir urus beretika serta mengeratkan jurang digital bagi Selatan Global.

Ad Banner

“Hubungan kita melangkaui hubungan diplomatik biasa. Hubungan ini terbina atas dasar kepercayaan dan keyakinan, dan kita memerlukan rakan yang menghargai persahabatan ini,” kata Anwar dalam ucapan pembukaan beliau semasa pertemuan itu.

Menegaskan pendirian Malaysia terhadap China dan isu serantau seperti Laut China Selatan, Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa Malaysia menghargai komitmen Beijing terhadap janji-janjinya dan melihat negara itu dari sudut pandangan yang tersendiri.

“Setiap kali mereka menemu bual saya, mereka bertanya mengenai hubungan kita dengan China... tetapi Li, kami menghargai persahabatan ini dan kami melihat bahawa anda menunaikan janji yang telah dibuat,” kata Anwar.

Ad Banner
Ad Banner

Anwar turut menyatakan penghargaan beliau terhadap kepimpinan China dalam perbincangan mengenai isu utama global dan memaklumkan bahawa kedua-dua negara berkongsi nilai dalam aspek tadbir urus dan pembangunan beretika.

Sambil menekankan kedudukan Hangzhou sebagai hab digital dan kecerdasan buatan (AI), Anwar memuji Li atas sumbangan beliau terhadap pembangunan rantau berkenaan.

Anwar berkata kehadiran beliau pada acara yang diadakan di Shanghai dan Hangzhou sepanjang lawatan kerja tiga hari mencerminkan hubungan peribadi dan kerja yang erat dengan kepimpinan China.

Perdana Menteri menyatakan keyakinan terhadap hala tuju hubungan Malaysia-China yang beterusan ketika kedua-dua negara terus melangkah ke hadapan untuk membincangkan perkara penting yang selanjutnya yang bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala.

Pertemuan yang bermula pada tengah hari di West Lake State Guest House di sini adalah antara agenda utama pada hari terakhir lawatan kerja Anwar ke China, yang berakhir hari ini.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira 50 minit, sebelum kedua-dua pemimpin dan delegasi menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.

Sementara itu, Li dalam ucapan bagi mengalu-alukan ketibaan Anwar dan delegasi menyifatkan hubungan Malaysia-China sebagai antara keutamaan dalam diplomasi kejiranan Beijing.

Beliau berkata dalam suasana konflik, pergolakan dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing, komunikasi serta penyelarasan rapat antara kedua-dua negara mampu menambah kepastian kepada pembangunan bersama.

Li turut menyifatkan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lepas sebagai pembuka tirai “50 Tahun Keemasan” baharu hubungan Malaysia-China.

Menurutnya China bersedia berganding bahu dengan Malaysia untuk mengukuhkan kepercayaan politik dan memperdalam pembinaan komuniti China-Malaysia, termasuk menerusi kerjasama sains dan teknologi, perdagangan digital serta kemahiran vokasional.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Lawatan kerja atas jemputan kerajaan China itu merupakan lawatan keempat Anwar ke negara itu sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

-- BERNAMA