China Sasar Peradagangan Halal Yang Lebih Kukuh Dengan Malaysia
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pavilion China di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 berhasrat untuk mengukuhkan perdagangan halal Malaysia-China dengan meluaskan hubungan perniagaan dan meneroka peluang merentasi rantaian bekalan halal.
Pengurus projek Pavilion China, Mason Mei Xiao Qing berkata MIHAS menyediakan platform untuk syarikat-syarikat dari China memperkenalkan produk dan keupayaan rantaian bekalan mereka sambil mewujudkan hubungan perniagaan di Malaysia.
"MIHAS merupakan platform peringkat teratas di Asia Tenggara. Kami menyertai pameran ini untuk menghubungkan syarikat China dengan Malaysia, dan kami juga mahu memperkenalkan produk serta rantaian bekalan kami bagi meningkatkan hubungan perniagaan selain mencapai kerjasama menang-menang," katanya kepada Bernama di Studio Mudah Alih BERNAMA di MIHAS 2026.
Kedudukan geografi Malaysia di Asia Tenggara adalah antara faktor yang menarik minat syarikat-syarikat China untuk bertukar pengetahuan bersama-sama dengan peluang industri.
"Di MIHAS, kami boleh bertemu pelanggan secara bersemuka, membangunkan hubungan perniagaan baharu dan bertukar pengetahuan. Kami juga boleh membincangkan perkembangan industri, kerana MIHAS menyatukan keseluruhan rantaian industri halal," katanya.
Delegasi China di MIHAS tahun ini mempamerkan produk yang merangkumi beberapa segmen rantaian bekalan halal, termasuk makanan diproses, bahan pembungkusan dan mesin-mesin pemprosesan makanan.
Mengenai kepentingan import China, Mei merujuk kepada bahan mentah pertanian dan ternakan, termasuk daging lembu, produk tenusu serta rempah ratus.
“Sebenarnya, saya lebih berminat dengan import di MIHAS kerana saya selalu melihat beberapa makanan istimewa yang pertama kali saya lihat di Malaysia. Ini membuatkan saya sangat berminat. Jadi mungkin lain kali, saya mahu melihat lebih banyak produk,” tambahnya.
Memandang ke hadapan, Mei berharap penyertaan masa depan akan menampilkan rangkaian produk yang lebih luas, manakala perniagaan China juga boleh meneroka produk yang tersedia dari Malaysia dan pempamer lain di pameran itu.
MIHAS 2026, yang berlangsung mulai 23 hingga 26 Sept di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 4500 negara.
-- BERNAMA