Kejayaan Perluas Tenaga Bersih Bergantung Kesediaan Sistem Tenaga Secara Menyeluruh - TNB

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Permintaan daripada pelanggan dan industri yang terus meningkat menyebabkan penjanaan tenaga yang lebih bersih perlu berkembang seiring dengan grid yang pintar dan cekap, kata Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga Tenaga Nasional Bhd (TNB) Dr Mohd Fadzil Mohd Siam.

Beliau berkata aspek ini menjadi semakin penting apabila lebih banyak tenaga boleh baharu (TBB) disepadukan dalam sistem tenaga elektrik dan teknologi bersih baharu terus berkembang manakala kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kemampuan untuk membayarnya kekal sebagai keutamaan. 

“Membuat persediaan terhadap sistem bererti melakukan pelaburan lebih awal bagi memenuhi keperluan pada masa depan.

Ad Banner

“Memperkukuh kesediaan rangkaian akan membolehkan lebih banyak TBB diintegrasikan dalam negara di samping menyediakan grid untuk sistem tenaga serantau yang lebih saling berhubung,” katanya pada Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) 2026.

Mohd Fadzil berkata kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN meletakkan negara ini sebagai antara sumber tenaga bersih yang penting dan pusat permintaan elektrik yang semakin berkembang.

"Daripada potensi tenaga hidro di utara dan timur sehingga peluang tenaga angin luar pesisir di rantau ini, kesalinghubungan yang lebih kukuh membolehkan tenaga elektrik disalurkan dengan lebih berkesan merentasi sempadan serta membolehkan ASEAN menggunakan sumber pelengkapnya dengan lebih baik," katanya.

Ad Banner
Ad Banner

TNB telah menyokong hala tuju ini melalui keterhubungan rentas sempadan dan perdagangan elektrik sedia ada dengan rakan serantau di samping meneroka peluang kesalinghubungan berikutnya di seluruh ASEAN.

Beliau berkata usaha-usaha ini secara bersama dapat mengukuhkan peranan Malaysia dalam sistem tenaga serantau yang lebih saling berhubung dan mewujudkan laluan baharu bagi tenaga bersih untuk disalurkan ke kawasan yang memerlukan.

Merealisasikan potensi ini memerlukan infrastruktur dan ekosistem yang menyokongnya untuk dibangunkan seiring.

Beliau berkata keperluan teknikal, kawal selia dan komersial perlu terus berkembang seiring dengan kerjasama yang lebih erat antara syarikat utiliti dan rakan serantau bagi membolehkan projek serta pelaburan rentas sempadan dilaksanakan.

“Langkah ini mencerminkan peranan TNB dalam peralihan yang lebih luas iaitu memperkukuh kesiapsiagaan sistem di Malaysia dan pada masa sama membantu memajukan kesalinghubungan dan kerjasama yang diperlukan bagi mewujudkan sistem tenaga ASEAN yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada persidangan sama, Ketua Pegawai Strategi, Kawal Selia dan Kelestarian Kanan TNB Datuk Muhamad Nazri Pazil menekankan rancangan TNB untuk memperkukuh sistem tenaga Malaysia melalui pelaburan besar dalam grid domestik.

Menurutnya selain itu kumpulan turut meningkatkan kesalinghubungan serantau bagi menyokong pertumbuhan negara dan menyumbang kepada ASEAN yang lebih berdaya tahan serta saling berhubung.

Beliau berkata peralihan tenaga akan ditentukan oleh kekuatan sistem yang dibangunkan untuk melaksanakannya ketika sistem tenaga di seluruh Asia bertindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat dan persekitaran operasi yang semakin kompleks.

Bagi TNB, ini bermakna membangunkan peralihan itu sebagai satu sistem yang bersepadu.

“Pelaburan dalam grid yang lebih kukuh dan pintar menjadi asas kepada perkembangan tenaga yang lebih bersih manakala fleksibiliti yang tinggi membolehkan sistem menampung lebih banyak TBB tanpa menjejaskan daya tahannya,” katanya.

Beliau berkata apabila keupayaan ini semakin berkembang, kesalinghubungan serantau yang kukuh dapat memperluaskan manfaatnya melangkaui sempadan negara, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang untuk berkongsi tenaga elektrik yang bersih dan memperkukuh keselamatan tenaga di seluruh ASEAN.

Perbelanjaan modal syarikat utiliti itu yang diluluskan bagi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) berjumlah kira-kira RM43 bilion, sedang dilaksanakan untuk memperkukuh dan memodenkan grid.

Pada masa sama, kemajuan yang berterusan dalam TBB, penyimpanan tenaga dan pendigitalan sedang menyediakan sistem itu untuk menghadapi masa depan tenaga yang lebih dinamik.

Muhamad Nazri berkata grid yang lebih kukuh dan pintar akan menjadi asas bagi memperluas penggunaan tenaga yang lebih bersih manakala fleksibiliti sistem yang tinggi akan membolehkan lebih banyak TBB disepadukan tanpa menjejaskan daya tahan sistem.

Apabila keupayaan ini semakin berkembang, TNB berpandangan bahawa kesalinghubungan serantau yang lebih kukuh sebagai satu kaedah untuk memperluas manfaat pelaburan tenaga negara melangkaui sempadan Malaysia.

Melalui Grid Tenaga ASEAN, pendekatan sistem yang sama turut diperluaskan ke peringkat serantau.

"Kesalinghubungan yang luas membolehkan sistem tenaga negara yang lebih kukuh berfungsi bersama, sekali gus menyokong perdagangan elektrik rentas sempadan dan membina daya tahan kolektif yang lebih tinggi di seluruh ASEAN," katanya.

Bagi TNB, pelaksanaan membawa maksud memastikan setiap aspek dalam peralihan ini memperkukuh sistem secara keseluruhan.

-- BERNAMA