MBSM IB Kekalkan Sasaran Harga MSM Pada RM4,400 Bagi 2026 Di Sebalik Ancaman El Nino

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,400 setan bagi 2026, disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan yang semakin terhad susulan peningkatan mendadak titik panas di seluruh rantau ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan pada bulan Ogos, bilangan titik panas meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada 265 di Malaysia dan 15,186 di Indonesia dengan Kalimantan menyumbang 87.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Indonesia, sekali gus memberi petunjuk tentang keadaan cuaca kering yang semakin buruk menjelang fenomena El Niño, berpotensi menjadi sangat kuat.

“Keadaan ini berlaku memandangkan kebarangkalian berlakunya fenomena cuaca yang kuat hingga kategori sangat kuat diunjurkan meningkat daripada 77 peratus pada bulan Oktober kepada 98 peratus menjelang Disember.

Ad Banner

“Jika keadaan kering berterusan, hasil tandan buah segar (TBS) lebih rendah boleh menyebabkan bekalan minyak sawit menjadi terhad dan menyokong harga minyak sawit mentah (MSM),” menurut firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

MBSB IB memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Barat Daya akan berakhir pada bulan September, diikuti oleh ribut petir semasa peralihan monsun yang mungkin dapat mengurangkan keadaan kering buat sementara waktu.

Oleh itu, firma tersebut menyatakan bahawa ladang-ladang di Malaysia kekal dalam keadaan yang memuaskan buat masa ini, manakala tumpuan titik panas di Indonesia menunjukkan risiko bekalan dan tekanan kekurangan kelembapan yang lebih ketara dalam masa terdekat.

Ad Banner
Ad Banner

Angka hasil daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan kesan terhadap bekalan adalah tidak sekata; hasil TBS ladang di Malaysia mencatatkan purata 10.83 tan sehektar dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2026, iaitu penurunan sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun berbanding 11 tan sehektar dalam tempoh sama pada 2025.

Ia melaporkan bahawa hasil di Semenanjung Malaysia merosot 7.8 peratus tahun ke tahun kepada 11.29 tan sehektar, manakala hasil gabungan Sabah dan Sarawak meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun kepada 10.48 tan sehektar berbanding 9.98 tan sehektar sebelumnya.

“Justeru, hasil tuaian semasa belum menunjukkan penyusutan di peringkat nasional akibat faktor cuaca.

“Bagaimanapun, tekanan kekurangan kelembapan yang berterusan boleh menjejaskan pengeluaran tandan pada masa hadapan, sekali gus mengubah kekurangan hujan ketika ini kepada hasil lebih rendah dan bekalan MSM  lebih terhad pada tahun 2027,” katanya.

Sehubungan itu, MBSB IB mengekalkan pendirian “positif” (taktikal) terhadap sektor perladangan.

-- BERNAMA