‘Ayam Norliza’ Sasar Jadi Produk Muslim Nasional, Kini Proses 1.5 Juta Ayam Sebulan

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

PONTIAN, 24 Sept (Bernama) -- Bermula pada 1996 dengan hanya lima pekerja dan jualan 300 ekor ayam sehari, kini syarikat pemprosesan dan penternakan tempatan NB Group menerusi jenama 'Ayam Norliza' berkembang pesat dengan mencatatkan kapasiti pemprosesan sehingga 1.5 juta ekor ayam sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif NB Poultry dan NB Farming Badrul Hisyam Baharudin berkata syarikat berkenaan yang berpangkalan di Pekan Nanas di sini, dipelopori oleh ibu bapanya yang menceburi bidang perniagaan itu dalam usaha membangunkan industri penternakan tempatan.

Ad Banner

Beliau berkata kejayaan syarikat itu dipacu menerusi NB Poultry Processing Industries Sdn Bhd yang mengendalikan pemprosesan moden mengikut piawaian pensijilan halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

NB Farming Sdn Bhd pula menyelia operasi ladang, pembekalan anak ayam dan pengeluaran makanan ayam (OEM Feedmill) yang menjamin kawalan penuh ke atas kualiti dari ladang ke kilang.

Menurut Badrul Hisyam, bekalan ayam segar syarikat itu dipasarkan di seluruh Johor termasuk beberapa cawangan pasar raya utama seperti Econsave, Maslee dan Mydin selain di dua cawangan Jom Beli Fresh Market milik syarikat sendiri. 

Ad Banner
Ad Banner

"Liputan untuk produk kita terutamanya melibatkan kawasan Johor, selain itu ada juga di pasaran tengah sampai ke utara. Namun tumpuan diberikan kepada ayam sejuk beku kerana ayam segar memerlukan penjagaan kesegaran yang ketat semasa penghantaran," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai kos, beliau berkata penghasilkan formula makanan ayam atau dedak sendiri mampu mengurangkan kos operasi di samping memastikan kestabilan harga ayam dari semasa ke semasa.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak 20,000 tan metrik dedak dikeluarkan pada setiap bulan dengan kapasiti dipertingkat dari semasa ke semasa.

Hasil pengeluaran dedak diagihkan bagi memenuhi keperluan lebih 70 ladang ternakan yang berada di sembilan daerah.

Berhubung perancangan masa depan, Badrul Hisyam berkata beliau berhasrat menjadikan Ayam Norliza sebagai salah satu jenama produk keluaran Muslim di peringkat nasional.

Selain itu, tumpuan turut diberikan untuk melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan ayam, seiring dengan model syarikat integrator (bersepadu) lain yang telah lama bertapak dalam industri penternakan, kata beliau.

Menurutnya, antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah menerusi rancangan pembangunan produk hiliran seperti sosej dan nuget ayam. 

"Bagi melengkapkan rantaian berkenaan, kita juga harus ada anak ayam sendiri dan juga produk hiliran seperti nuget dan sosej yang boleh dipasarkan seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata, fasiliti pemprosesan dan penyembelihan akan dinaik taraf di samping mengembangkan model perniagaan melalui francais atau kerjasama di antara penternak.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha yang dirancang itu perlu seiring dengan strategi bagi mengukuhkan lagi jenama Ayam Norliza, antaranya menerusi penggunaan media sosial supaya syarikat yang diwarisi itu semakin dikenali di seluruh Malaysia.

"Sebagai generasi pewaris, saya perlu tampil ke hadapan memperkenalkan jenama ini. Saya turut merasakan perkongsian kisah perjalanan 30 tahun Ayam Norliza (dalam industri) mampu meletakkannya sebagai antara jenama yang dikenali di negara ini," tambah beliau.

--BERNAMA