BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | 

Malaysia Diunjur Tumbuh 4.7 Peratus Pada 2026, Prospek Asia Tenggara Cerah -- WEF

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 4.7 peratus pada 2026, dipacu oleh eksport serta pelaburan berkaitan teknologi selain permintaan domestik yang memberangsangkan, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Dalam laporan terkini Unjuran Ketua Ahli Ekonomi - September 2026, WEF memaklumkan prospek pertumbuhan Asia Tenggara kekal berdaya tahan dengan 97 peratus daripada kalangan ahli ekonomi atau responden tinjauan itu menjangkakan pertumbuhan rantau itu akan menyederhana atau mengukuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 peratus menjangkakan pertumbuhan kukuh atau amat kukuh berbanding 69 peratus yang menjangkakan pertumbuhan sedemikian pada Mei lepas.

Ad Banner

Tinjauan bagi edisi terkini itu telah dijalankan pada 4 Ogos hingga 20 Ogos 2026.

Bagaimanapun unjuran di peringkat negara kekal berbeza dengan Vietnam dijangka mencatat pertumbuhan 7.5 peratus manakala Thailand 1.9 peratus pada 2026, disokong oleh pelbagai tahap eksport dan pelaburan berkaitan teknologi serta permintaan domestik yang mantap.

Jangkaan pasaran tenaga kerja juga kekal positif dengan 79 peratus responden mengunjurkan kadar pengangguran kekal tidak berubah manakala 14 peratus menjangkakan penurunan.

Ad Banner

Segmen pembuatan, eksport dan pelaburan yang berdaya tahan serta permintaan domestik yang kukuh, terus menyuntik pertumbuhan di serata Asia Tenggara.

Selain itu, unjuran berkaitan inflasi juga semakin meningkat sejak Mei lepas.

Dalam kalangan ketua ahli ekonomi terbabit, sebanyak 53 peratus menjangkakan inflasi yang lebih menyederhana manakala 41 peratus mengunjurkan peningkatan inflasi dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding 54 peratus menyasarkan inflasi tinggi atau amat tinggi pada Mei lepas.

Keadaan inflasi bagi Asia Tenggara yang membangun diunjurkan pada 3.9 peratus pada 2026 atau menokok daripada unjuran 3.2 peratus setahun sebelum ini, sekali gus mencerminkan peningkatan harga tenaga dan makanan global selain tekanan kadar pertukaran asing yang melonjakkan kos import di serata rantau itu.

Pada masa sama, permintaan teknologi yang ketara, perbelanjaan isi rumah yang ketara serta pelaburan yang berdaya tahan turut menyokong aktiviti serantau walaupun peningkatan semula gangguan berpotensi melonjakkan kos tenaga dan perkapalan.

-- BERNAMA