BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

Syarikat Dari Malaysia Diminta Manfaatkan Dubai Sebagai Gerbang Ke Timur Tengah, Afrika

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Syarikat-syarikat dari Malaysia digalakkan untuk mempertimbangkan Dubai sebagai pintu masuk ke pasaran di seluruh Timur Tengah, Afrika dan Eropah, disokong oleh lokasi strategik emiriah tersebut, infrastruktur logistik serta dasar yang mesra perniagaan, menurut Dewan Perniagaan Dubai (Dubai Chambers).

Ketua wakilnya di Singapura yang turut meliputi Malaysia dan Brunei, Malcolm Leoi berkata Dewan Perniagaan Dubai boleh menyokong firma Malaysia yang ingin bertapak di negara itu itu menerusi penyelidikan pasaran, memperkenalkan kepada rakan kongsi tempatan dan bantuan dalam proses pentadbiran.

“Perkhidmatan ini termasuk pelesenan syarikat, pembukaan akaun bank dan pengurusan penempatan semula eksekutif.

Ad Banner

“Disebabkan lokasi kami yang terletak di persimpangan dunia (lokasi strategik), kami menikmati ketersambungan global yang tiada tandingan. Kami berada di tengah-tengah wilayah Timur Tengah, Afrika dan Eropah yang lebih luas,” katanya.

Leoi berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak E-Dagang Yalla Commerce Global 2026, julung kali diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) di sini hari ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mengendalikan rekod seramai 95.2 juta penumpang pada tahun 2025, peningkatan sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun, katanya.

Beliau berkata Dubai juga mengekalkan kedudukannya sebagai bandar raya utama dunia bagi projek pelaburan langsung asing (FDI) jenis 'greenfield' pada separuh pertama 2025, dengan menarik modal FDI yang dianggarkan bernilai US$11 bilion (US$1=RM4.07).

Leoi berkata pelabur asing boleh memiliki 100 peratus syarikat dalam kebanyakan aktiviti perniagaan, manakala syarikat boleh memulakan operasi di tanah besar Dubai atau di dalam zon bebas khusus.

Ad Banner

“Di bawah Agenda Ekonomi Dubai D33, negara itu itu menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonominya menjelang 2033, meningkatkan perdagangan luar sepanjang dekad tersebut dan menambah rakan dagang utama.

“Asia Tenggara akan memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yalla Commerce, Arfa Hussain berkata syarikat itu melihat potensi bagi koridor perdagangan digital antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), ditandatangani tahun lepas telah menyediakan asas yang lebih kukuh bagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Peranan kami di Yalla Commerce adalah untuk membantu menterjemahkan momentum tersebut kepada perniagaan sebenar.

“Ekosistem e-dagang Malaysia yang matang serta kedudukan strategiknya di tengah-tengah ASEAN melengkapi peranan UAE sebagai pusat perdagangan yang mempunyai hubungan antarabangsa,” katanya.

Dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta, 40 rakan kongsi dan 20 penceramah untuk membincangkan kemasukan perniagaan Malaysia ke pasaran UAE dan pasaran negara-negara Teluk yang lebih luas.

-- BERNAMA