BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

Pemuktamadan Peraturan EUDR Beri Impak Kecil Ke Atas Pengusaha Sawit -- HLIB

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Langkah pemuktamadan Kerangka Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dapat memberi kejelasan berhubung pelaksanaannya menjelang tarikh penguatkuasaan pada akhir Disember 2026.

Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan langkah berkenaan hanya memberi impak kecil ke atas syarikat-syarikat perladangan minyak sawit.

Dalam nota penyelidikannya hari ini HLIB memaklumkan, sebagai sokongan terhadap penguatkuasaan EUDR berkenaan, Suruhanjaya Eropah telah menggunapakai dua pendekatan iaitu Akta Wakilan dan Akta Pelaksanaan.

Ad Banner

Akta Wakilan itu mengemas kini serta memudah cara senarai produk di bawah peraturan itu manakala Akta Pelaksanaan menggariskan peranan Sistem Maklumat bagi tujuan mengemukakan Pernyataan Usaha Wajar serta pengisytiharan yang dipermudahkan.

Menurut HLIB, Akta Wakilan itu memperluaskan skop peraturan itu bagi memasukkan produk hiliran berasaskan sawit tambahan dan dijangka melibatkan kos pematuhan tambahan yang minimum.

“Dalam pada itu, Akta Pelaksanaan itu terutamanya bagi memberi kejelasan prosedur bagi mengemukakan DDS menerusi Sistem Maklumat Kesatuan Eropah (EU),” maklum bank pelaburan itu.

Ad Banner

HLIB juga menyifatkan Akta Pelaksanaan itu sebagai memberi impak lebih kecil terhadap syarikat-syarikat perladangan sawit dan bertujuan menggariskan peraturan teknikal berkaitan Sistem Maklumat EUDR berkenaan, termasuk penyerahan pengisytiharan dan prosedur kontingensi sekiranya berlaku sebarang gangguan sistem.

“Kami juga tidak menjangkakan Akta Pelaksanaan berkenaan akan menyebabkan sebarang peningkatan besar dari segi kos pematuhan memandangkan kebanyakan syarikat perladangan bersepadu telah pun melabur dalam sistem kebolehkesanan, pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan proses usaha wajar sejak dua tahun lepas.

“Sebaliknya, ini hanya meningkatkan ketentuan pelaksanaan dan membolehkan syarikat-syarikat memuktamadkan rancangan pematuhan masing-masing menjelang penguatkuasaan peraturan itu,” maklumnya.

HLIB memaklumkan peladang Malaysia, terutama yang mempunyai pendedahan lebih besar terhadap pasaran EU, berada dalam kedudukan baik bagi pelaksanaan EUDR memandangkan telah membangunkan sistem kebolehkesanan serta proses usaha wajar yang diperlukan bagi pematuhan itu.

“(Sehubungan itu), kami mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026-2027 masing-masing pada RM4,450 satu tan metrik dan RM4,300 satu tan metrik,” maklum bank itu.

Pada masa sama, HLIB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor itu atas alasan disokong oleh jangkaan harga MSM yang tinggi akan kekal sepanjang tempoh separuh kedua 2026 selain turut didorong oleh keadaan bekalan yang makin terhad ketika permintaan kekal kukuh.

-- BERNAMA