BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

SC Kaji Tubuh Pasukan Petugas Bagi Perkukuh Kecekapan, Akauntabiliti Setiausaha Syarikat

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mengkaji penubuhan pasukan petugas pelbagai pihak berkepentingan melibatkan pengawal selia dan badan profesional untuk memperkukuh kecekapan dan profesionalisme setiausaha syarikat dalam syarikat yang disenaraikan di Malaysia.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata cadangan pasukan petugas itu akan meliputi membangunkan rangka kerja kecekapan yang standard selaras dengan peranan setiausaha syarikat yang berkembang.

“Kami juga bekerjasama dengan Bursa Malaysia mengenai rangka kerja kawal selia untuk setiausaha syarikat bagi syarikat yang disenaraikan bagi menangani, antara lain, kesesuaian dan kewajaran serta akauntabiliti mereka,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Global Chartered Governance Institute (CGI) 2026 di sini hari ini. 

Ad Banner

Beliau berkata langkah itu merupakan susulan daripada maklum balas yang diterima semasa rundingan mengenai Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2026, yang akan dikeluarkan pada tahun ini, menekankan keperluan untuk terus memperkukuh kecekapan, keupayaan dan profesionalisme setiausaha syarikat.

Faiz berkata setiausaha syarikat semakin dikehendaki untuk memainkan peranan yang lebih pelbagai, bukan hanya memastikan pematuhan undang-undang dan menyelenggara rekod syarikat, malah sebagai penasihat yang dipercayai, memudah cara proses membuat keputusan yang berkesan oleh lembaga pengarah serta memberikan pandangan dalaman yang kritikal dan membina.

“Mungkin ada keadaan apabila tindakan yang paling mudah untuk lembaga pengarah tidak semestinya yang terbaik.

Ad Banner

“Malah mungkin terdapat keadaan apabila mengemukakan soalan yang tepat lebih penting daripada mendapatkan jawapan yang betul,” katanya.

Mengenai MCCG 2026, Faiz berkata kod yang disemak semula itu akan memberi tumpuan kepada memastikan tadbir urus korporat menyumbang kepada penciptaan nilai berbanding hanya dianggap sebagai langkah pematuhan.

“Itu pendekatan yang digunakan dalam semakan terhadap MCCG yang akan dikeluarkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata tadbir urus perlu membolehkan organisasi membuat keputusan yang lebih baik dalam keadaan yang tidak menentu dan sentiasa berubah manakala pelabur dan pihak berkepentingan semakin mengharapkan lembaga pengarah menunjukkan bagaimana tadbir urus menyumbang kepada daya tahan, daya saing dan hasil yang mampan.

“Apabila tadbir urus hanya dilihat sebagai langkah pematuhan, matlamat yang lebih besar tidak tercapai. Sesebuah syarikat boleh mematuhi semua keperluan tetapi masih berdepan kesukaran berikutan strategi yang lemah, pengambilan risiko berlebihan atau ketidakupayaan untuk membuat penyesuaian.

“Bagaimanapun, apabila tadbir urus membentuk kualiti keputusan, ia menjadi kelebihan daya saing,” katanya.

Faiz berkata MCCG 2026 yang akan datang akan mengekalkan prinsip teras akauntabiliti, integriti, ketelusan dan pengawasan berkesan selain menggalakkan lembaga pengarah dan organisasi untuk lebih berpandangan jauh bagi menangani isu-isu yang membentuk penciptaan nilai jangka panjang.

Beliau berkata tadbir urus yang baik menjadi asas kepada keputusan yang lebih baik, kepercayaan dan daya tahan terutamanya ketika syarikat berdepan perubahan teknologi, kecerdasan buatan, jangkaan berkaitan kemampanan yang semakin berkembang dan ketidaktentuan geopolitik.

-- BERNAMA