Labuan IBFC Naik 11 Tangga Ke Kedudukan Ke-44 Dalam Indeks Pusat Kewangan Global
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 22 Sept (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) naik 11 tangga untuk berada di kedudukan ke-44 secara global dalam Indeks Pusat Kewangan Global 40 (GFCI 40) terbaharu sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pusat kewangan terkemuka dunia.
Kedudukan terbaharu itu meletakkan Labuan IBFC dalam kalangan 45 pusat kewangan terbaik daripada 117 yang dinilai berbanding tangga ke-55 sebelum ini.
Pusat kewangan antarabangsa itu mencatatkan peningkatan berterusan menerusi tiga edisi GFCI berturut-turut, bergerak dari kedudukan ke-60 ke tangga ke-55 sebelum melonjak ke kedudukan ke-44 sekali gus mencatatkan kenaikan kumulatif sebanyak 16 anak tangga.
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Affendi Rashdi berkata pencapaian terbaharu berkenaan mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin berkembang terhadap Labuan IBFC serta peranan yang semakin terserlah dalam landskap kewangan global.
“Perkembangan ini mencerminkan kedudukan Labuan IBFC yang semakin kukuh sebagai pusat kewangan yang tersendiri dan relevan di peringkat antarabangsa selain memanfaatkan kekuatan khususnya untuk memenuhi keperluan perniagaan global yang sentiasa berkembang,” katanya kepada Bernama hari ini.
GFCI terbaharu itu turut menaik taraf profil Labuan IBFC daripada 'Pesaing Antarabangsa' kepada 'Pusat Pengkhususan', mencerminkan keupayaannya yang mantap dalam pelbagai bidang termasuk insurans kaptif, kewangan Islam, perkhidmatan kewangan digital dan pengurusan kekayaan.
Peningkatan kedudukan tersebut turut mengukuhkan kedudukan relatifnya dengan beberapa pusat kewangan terkemuka di Eropah dan Caribbean.
Menurut Affendi penawaran khusus Labuan IBFC melengkapi ekosistem kewangan Malaysia secara lebih meluas selain mengukuhkan keterhubungan kewangan antarabangsa negara.
“Kami akan terus membina jaringan di antara pusat kewangan dengan bidang kuasa, memperkukuh hubungan antarabangsa, membuka peluang baharu serta meletakkan Labuan IBFC sebagai pintu masuk yang dipercayai, menghubungkan Asia dengan perniagaan dan pelaburan global,” katanya.
Labuan IBFC kini turut menyediakan Pelan Hala Tuju Strategik 2027-2031 yang akan menggariskan fasa pembangunan pusat kewangan itu seterusnya dengan tumpuan kepada keterhubungan antarabangsa dan serantau yang lebih kukuh, daya saing, inovasi bertanggungjawab serta kematangan kawal selia.
Pelan hala tuju itu dijangka terus memperkukuh pembangunan Labuan IBFC sebagai pusat kewangan antarabangsa yang berdaya saing, bersedia menghadapi masa depan dan mempunyai hubungan yang kukuh.
-- BERNAMA