BERITA TERKINI   RCI TH: Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan subahat pecah amanah | 

Pakej Peningkatan CRESS Perkukuh Bekalan TBB Yang Boleh Disalur Mengikut Keperluan -- MBSB IB

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pakej Peningkatan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dilihat sebagai penambahbaikan paling ketara kepada rangka kerja tersebut dengan pengurangan caj keutamaan bagi CRESS dengan bekalan tenaga boleh baharu (TBB) yang boleh disalur mengikut keperluan.

Ia mencerminkan beban sistem yang lebih rendah berikutan bekalan TBB yang boleh dikawal mengikut keperluan.

Baru-baru ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan pakej peningkatan bagi CRESS yang berteraskan cas akses sistem (SAC) lebih rendah iaitu 14 sen setiap kilowatt-jam (kWh) bagi pembekalan TBB yang boleh disalur mengikut keperluan.

Ad Banner

Pakej berkenaan turut merangkumi tempoh kontrak minimum 10 tahun di antara pemaju TBB (RED) dengan pengguna tenaga hijau serta tarikh operasi komersial (COD) akhir pada 31 Dis, 2028.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), penggabungan tenaga solar dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) membolehkan projek dengan bekalan tenaga yang boleh disalurkan mengikut keperluan mengurangkan ketidakstabilan bekalan.

Ini sekali gus mengurangkan keperluan pengimbangan dan rizab dalam grid, menjadikannya lebih bernilai dari perspektif kebolehpercayaan sistem berbanding bekalan tenaga yang tidak boleh disalurkan mengikut keperluan.

Ad Banner

Bagi pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), bank pelaburan itu menyatakan CRESS secara berstruktur memasukkan BESS ke dalam skop projek sekali gus meningkatkan nilai kontrak yang boleh ditangani bagi setiap megawatt tenaga solar yang dipasang.

"Tarikh akhir Penyiapan Operasi Komersial (COD) yang ketat pada penghujung 2028 ini juga boleh mencetuskan kesegeraan untuk menggerakkan projek-projek yang layak ke fasa pembinaan dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus menyokong lonjakan nilai perolehan kontrak bagi jangka masa pendek.

"Selain bertindak semata-mata sebagai kontraktor, pemain EPCC juga boleh mengambil bahagian sebagai RED, sekali gus membolehkan mereka meraih hasil pembangunan serta margin EPCC daripada projek-projek CRESS," jelasnya dalam satu nota penyelidikan.

Sehubungan itu, MBSB IB mengekalkan pendirian "positif" ke atas subsektor TBB memandangkan perkembangan terkini dijangka meningkatkan kadar penukaran projek serta meluaskan skop pembangunan CRESS yang berdaya maju secara komersial.

-- BERNAMA