Techna-X Lantik Tunku Kamariah Sebagai Timbalan Pengerusi
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Techna-X Bhd melantik Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar sebagai Pengarah Eksekutif dan Timbalan Pengerusinya, berkuat kuasa hari ini.
Tunku Kamariah, 70, merupakan anggota kerabat diraja Johor.
Menurut kumpulan terpelbagai teknologi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tunku Kamariah adalah pemegang amanah Yayasan Sultan Iskandar, yang menyokong pelajar pascasiswazah daripada golongan kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Tunku Kamariah juga merupakan penaung PS The Children, iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong kanak-kanak mangsa penderaan seksual di Selangor dan Kuala Lumpur, serta duta Asian Liver Center di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.
Baginda juga adalah Pengarah AHB Holdings Bhd dan pernah terlibat dalam sektor pembinaan, pembangunan serta pertanian di Malaysia.
-- BERNAMA