Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, didorong oleh tekanan jualan yang berterusan dalam ketegangan geopolitik yang memuncak di Asia Barat, harga minyak mentah yang tinggi dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang meningkat.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI menurun 10.47 mata atau 0.61 peratus kepada 1,703.87 daripada 1,714.34 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.64 mata kepada 1,712.70, bergerak antara 1,702.85 dan 1,713.08 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 634 berbanding 359 manakala 510 kaunter tidak berubah, 1,328 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.13 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.
Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan, kenaikan harga minyak yang mendadak dan berterusan kepada US$101 setong akan menarik perhatian pasaran, menggariskan paras peningkatan kos tenaga yang boleh mewujudkan reaksi pasaran lebih ketara.
Firma broker saham dan perkhidmatan kewangan itu memaklumkan pihaknya kekal berhati-hati terhadap sentimen risiko global jangka pendek berikutan kenaikan hasil Perbendaharaan AS dan lonjakan harga minyak mewujudkan persekitaran pasaran yang tidak stabil.
Menurutnya, ketidakselarasan antara sentimen optimisme terhadap pasaran ekuiti dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang tinggi mewujudkan risiko pembetulan yang lebih ketara jika prospek harga minyak atau inflasi tidak menggalakkan.
“Bagi KLCI, kami kekal berhati-hati terhadap bursa tempatan dalam masa terdekat berikutan harga minyak yang terus meningkat terus mempengaruhi prospek inflasi.
“Sentimen dijangka kekal berhati-hati sekiranya kos tenaga yang lebih tinggi diterjemahkan kepada tekanan harga yang lebih meluas dan meningkatkan kemungkinan dasar monetari yang lebih ketat,” menurut Apex Securities.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.50, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.90, CIMB meningkat 2.0 sen kepada RM7.93, Tenaga menurun 6.0 sen kepada RM13.68 dan IHH Healthcare merosot 9.0 sen kepada RM7.83.
Saham diniagakan aktif termasuklah Zetrix AI menurun 1.5 sen kepada 25.5 sen. Ni Hsin berkurangan 4.0 sen kepada 26 sen, Top Glove naik 7.0 sen kepada 70 sen, HHRG merosot 1.5 sen kepada 16 sen dan Supermax Corporation menambah 4.5 sen kepada 39.5 sen.
Kaunter paling untung diterajui oleh United Plantations meningkat 74 sen kepada RM33.74, Henyuan Refining naik 25 sen kepada RM3.41, Malayan Cement menambah 14 sen kepada RM5.67, Kerjaya Prospek menokok 13 sen kepada RM3.41 dan Ajinomoto naik 12 sen kepada RM19.34.
Kaunter paling rugi termasuklah Nestle menurun 62 sen kepada RM92.38, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 30 sen kepada RM22.60, Telekom merosot 22 sen kepada RM7.96, Kelington menyusut 16 sen kepada RM8.49 dan Bursa Malaysia menurun 14 sen kepada RM8.54.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 28.76 mata kepada 17,835.80 dan Indeks FBM ACE menurun 13.42 mata kepada 5,284.24.
Indeks FBM Emas merosot 62.57 mata kepada 12,618.44, Indeks FBM Top 100 menurun 62.12 mata kepada 12,417.84 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 61.77 mata kepada 12,445.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 103.91 mata kepada 19,943.64 dan Indeks Perladangan berkurangan 27.60 mata kepada 9,422.36.
Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 1.00 mata kepada 187.06 manakala Indeks Tenaga naik 2.24 mata kepada 820.77.
-- BERNAMA