Sugiyo Sasar Tingkatkan Bahagian Pasaran Halal Di Malaysia
Oleh Christine Lim
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pengeluar makanan laut diproses terkemuka Jepun, Sugiyo menyasarkan untuk meningkatkan penguasaannya dalam pasaran halal global dengan memperluas kehadirannya di Malaysia.
Ketua Bahagian Jabatan Luar Negara Megumi Koyama berkata syarikat bekerjasama dengan peruncit Malaysia untuk memperluas rangkaian produknya sebagai sebahagian daripada langkah pengembangan global.
“Memandangkan kami telah mengeksport produk ke Arab Saudi, kami telah memperoleh pensijilan halal pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk meneroka peluang baharu dan berkembang ke pasaran halal global termasuk di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain.
“Malaysia merupakan pasaran halal pertama kami di ASEAN,” katanya kepada Bernama pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini baru-baru ini.
Syarikat itu menyertai MIHAS buat kali pertama sebagai peserta pameran di bawah Pavilion Jepun.
Ditubuhkan pada 1640, Sugiyo terkenal sebagai pengeluar pertama di dunia yang menghasilkan makanan laut berperisa ketam dan mendapat sambutan di pasaran global.
“Bahan mentah utama kami ialah pes ikan surimi daripada ikan pollock Alaska dan kami telah mengeksport rangkaian produk premium ke Malaysia,” katanya.
Walaupun kos meningkat terutamanya pes ikan surimi dan bahan pembungkusan yang telah menjejaskan kos pengeluaran, katanya syarikat mengambil langkah untuk mengekalkan harga dan kualiti produknya.
“Kami mempunyai dua kemudahan pengeluaran untuk produk jejari berperisa ketam, masing-masing di wilayah Ishikawa, Jepun dan Washington, Amerika Syarikat (AS).
“Di Jepun, kami memberi tumpuan kepada pengeluaran varian premium manakala kemudahan di AS menumpukan kepada produk yang memenuhi keperluan pasaran negara itu,” katanya.
Koyama menegaskan bahawa Malaysia merupakan pasaran penting bagi Sugiyo sejak 1990 apabila syarikat mula bekerjasama dengan rakan niaga tempatan untuk berkongsi kepakarannya dalam produk makanan laut diproses.
“Kami sedang meninjau peluang seterusnya dalam pasaran Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA