Hab Pengetahuan MIHAS Berkembang Jadi Platform Sepanjang Tahun - MATRADE
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memperluas Hab Pengetahuan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) menjadi platform risikan perdagangan sepanjang tahun untuk memacu daya saing global pengeksport Malaysia.
Diperkenalkan pada 2021, Hab Pengetahuan MIHAS merupakan platform kepimpinan pengetahuan dan pemikiran di bawah program MIHAS, iaitu pameran perdagangan halal tahunan yang berlangsung selama empat hari.
“Melangkaui kerangka tersebut, inisiatif (baharu) memperkenalkan pengurusan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengaturcaraan digital sepanjang tahun dan format multimedia moden untuk menyampaikan pandangan pasaran yang boleh diambil tindakan pada masa nyata secara terus kepada perniagaan tempatan,” menurut MATRADE dalam kenyataan pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abu Bakar Yusof berkata kejayaan eksport bukan sahaja bergantung pada produk yang berkualiti, malah memahami pasaran antarabangsa dan jangkaan pembeli, memenuhi keperluan kawal selia dan mengikuti trend baharu.
Beliau berkata Hab Pengetahuan MIHAS merapatkan jurang ini dengan menghubungkan perniagaan dengan pakar, pembeli dan penggubal dasar selain menjadikan maklumat pasaran yang praktikal lebih mudah diakses melalui podcast dan sesi teknikal.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menyertai inisiatif strategik tahun ini, menampilkan empat tonggak perkongsian pengetahuan yang dirangka untuk setiap peringkat perjalanan pengeksport, iaitu webinar Prelude & “Meet the Experts”, podcast Pocket Talk, #SembangBlog / #SembangSantai dan Power Talk, yang akan berlangsung pada 23 September semasa MIHAS 2026.
MIHAS 2026 akan diadakan dari 23 hingga 26 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pengeksport Malaysia, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pihak berkepentingan industri dijemput untuk mendaftar awal bagi mengakses maklumat perdagangan eksklusif, rangkaian pakar dan peluang perniagaan global melalui laman web rasmi MIHAS.
-- BERNAMA