BERITA TERKINI   Indeks Harga Rumah Malaysia pada separuh pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 27,832 unit kediaman baharu telah dilancar dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada separuh pertama 2026 - Amir Hamzah | Pasaran harta tanah kekal berdaya tahan dengan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion pada separuh pertama 2026 - Amir Hamzah | Indeks Harga Rumah Malaysia pada suku pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 27,832 unit kediaman baharu telah dilancar dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada suku pertama 2026 - Amir Hamzah | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Seiring Prestasi Suram Wall Street

Oleh Rosemarie Khoo & Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, menjejaki prestasi Wall Street yang secara keseluruhannya lemah semalaman susulan kenaikan harga minyak mentah dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.01 mata atau 0.29 peratus kepada 1,709.33 daripada 1,714.34 ketika ditutup pada Rabu. 

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka 1.64 mata lebih rendah pada 1,712.70.

Sentimen pasaran keseluruhan suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 244 berbanding 146. Sebanyak 317 kaunter tidak berubah, 2,124 kaunter tidak diniagakan dan 21 kaunter digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 298.80 juta saham bernilai RM127.53 juta.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat, yang mendorong kenaikan harga minyak mentah menjadi cabaran utama kepada pasaran serantau dengan harga minyak mentah Brent melepasi US$100 setong, paras yang tidak pernah dicapai sejak Mei.

Sementara itu, Thong berkata Jabatan Perbendaharaan AS memberi petunjuk bahawa ia akan meningkatkan pembelian bon jangka panjang sebanyak US$6 bilion, manakala hasil Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat kepada 4.845 peratus.

“Susulan itu, aktiviti dagangan menjadi agak suram.

“Bagi hari ini, kami menjangkakan sesi dagangan yang sekali lagi kurang memberangsangkan, dengan indeks dijangka bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,720,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM10.52 dan RM13.80, manakala Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.91. CIMB tidak berubah pada RM7.91, manakala IHH Healthcare susut 2.0 sen kepada RM7.90.

Antara saham aktif, Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 24.5 sen dan Ni Hsin merosot 8.5 sen kepada 21.5 sen. HHRG dan MAG masing-masing tidak berubah pada 17.5 sen dan 15.5 sen, manakala GIIB meningkat setengah sen kepada 54 sen.

Kaunter untung teratas diterajui United Plantations yang meningkat 42 sen kepada RM33.42, diikuti F&N yang menambah 38 sen kepada RM24.48. Henyuan Refining pulih 15 sen kepada RM3.31, Petronas Chemicals naik 10 sen kepada RM4.65, manakala Paragon Union mengukuh 9.0 sen kepada RM1.58.

Antara kaunter rugi teratas ialah Hong Leong Financial yang susut 20 sen kepada RM18.84, Malaysian Pacific Industries yang turun 16 sen kepada RM40.80 dan Telekom yang merosot 11 sen kepada RM8.07. UWC dan Malayan Cement masing-masing susut 10 sen kepada RM6.68 dan RM5.43.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 57.90 mata kepada 17,806.66, manakala Indeks FBM ACE turun 11.40 mata kepada 5,286.26.

Indeks FBM Emas susut 36.93 mata kepada 12,644.08, Indeks FBM Top 100 susut 37.42 mata kepada 12,442.54, manakala Indeks Syariah Emas FBM turun 31.15 mata kepada 12,475.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 64.79 mata kepada 19,982.76, manakala Indeks Perladangan mengukuh 6.33 mata kepada 9,456.30.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit 0.11 mata kepada 187.95, manakala Indeks Tenaga meningkat 5.30 mata kepada 823.83.

-- BERNAMA