Anutin Yakin Pertumbuhan KDNK Thailand Lebih 2.1 Peratus Pada 2026
Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 24 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Thailand diyakini akan melebihi unjuran 2.1 peratus tahun ini dengan peningkatan pelaburan asing, eksport dan hasil cukai sebagai petanda prospek ekonomi yang semakin baik, kata Perdana Menterinya, Anutin Charnvirakul.
Menurut beliau, pelaburan asing pada separuh pertama 2026 adalah kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang direkodkan sepanjang tahun lepas manakala eksport meningkat lebih 20 peratus.
“Justeru, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand pada tahun ini sudah pasti bukan sekadar 2.1 peratus,” katanya dalam satu temu bual menerusi program “Talk with Anutin's Cabinet” pada Sabtu.
Anutin yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menegaskan beliau telah mengarahkan Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) untuk menyemak semula pengiraan pertumbuhan ekonomi, andaian dan data asasnya sebelum menentukan kadar semakan naik unjuran berkenaan.
Beliau berkata kerajaan turut mencatatkan peningkatan kutipan cukai pendapatan korporat dan individu selain peningkatan aliran tunai daripada langkah-langkah rangsangan ekonomi.
Anutin menekankan bahawa unjuran pertumbuhan yang tepat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan mengawal kos pembiayaan selain menambah bahawa prestasi ekonomi yang lebih kukuh dapat membantu Thailand menarik lebih banyak pelaburan asing.
Beliau menjelaskan kerajaan sedang meletakkan semula Thailand sebagai destinasi pelaburan dengan mengetengahkan infrastruktur pengangkutan, keupayaan logistik dan akses kepada pasaran ASEAN dan bukannya bersaing terutamanya dari segi kos buruh yang murah dan kos elektrik yang rendah.
“Pelabur boleh menjadikan Thailand sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran domestiknya yang mempunyai kira-kira 70 juta penduduk serta pasaran ASEAN yang lebih luas dengan sekitar 700 juta penduduk, disokong oleh jaringan perhubungan darat, rel, udara dan maritim,” katanya.
Perdana Menteri itu berkata kerajaan turut mempergiat usaha untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pasaran seperti Amerika Syarikat, Eropah, Emiriah Arab Bersatu dan Asia Tengah.
Dalam sektor tenaga, Anutin memberitahu kerajaan akan menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan membolehkan isi rumah menjana elektrik untuk kegunaan sendiri serta menjual lebihan tenaga kepada grid elektrik negara sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan menjana pendapatan tambahan.
Beliau menambah, penganjuran mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Bangkok baru-baru ini telah memudahkan perbincangan dua hala, pemadanan perniagaan dan kerjasama antarabangsa selain mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan Thailand untuk menganjurkan acara global berskala besar.
Menurut beliau, kerajaan menjangkakan manfaat ini dapat menarik lebih banyak pelaburan serta merancakkan sektor pelancongan dan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), ketika landskap ekonomi dan geopolitik global mengalami perubahan pesat.
-- BERNAMA