BERITA TERKINI   Piala FA: Selangor FC 2-1 Sabah FC (aggregat 4-3) | Piala FA: KL City FC 0-0 Perak FA (agregat 1-0) | Piala FA: DPMM 2-3 Terengganu FC | 

Cadangan Ambil Alih Pegangan MYEG Ventures Berdaya Maju Komersial -- Zetrix AI

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Zetrix AI Bhd hari ini menyifatkan cadangan entiti korporat berpangkalan di Filipina, IPVG Employees Inc untuk mengambil alih 50 peratus kepentingan ekuiti dalam MYEG Ventures Inc sebagai berdaya maju secara komersial.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia filing today, Zetrix AI memaklumkan cadangan itu akan membolehkan syarikat mewujudkan kepentingan strategik yang bermakna dalam MYEG Ventures.

“Ini sejajar dengan strategi untuk memperkukuh kehadiran dan mengembangkan lagi operasi perniagaan kami di Filipina,” maklum penyedia perkhidmatan digital dan penyelesaian e-kerajaan berkenaan.

Ad Banner

Penjelasan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap surat pertanyaan Bursa Malaysia bertarikh 8 September lepas mengenai perjanjian jual beli saham yang dimeterai antara Zetrix AI dan IPVG.

Menurut Zetrix AI, transaksi itu distruktur semula melalui IPVG berikutan pertikaian dengan Next Lion Ltd berhubung harga terbitan saham yang akan diterbitkan dan menjadi sebahagian daripada pertimbangan pembelian.

“IPVG mewakili satu entiti strategik yang mana menerusinya syarikat itu dapat mengambil alih agregat 50 peratus kepentingan dalam MYEG Ventures menerusi satu transaksi.

Ad Banner
Ad Banner

“Struktur itu menyediakan mekanisme lebih cekap dan tersusun untuk menyatukan pegangan saham berkaitan dalam MYEG Ventures berbanding rundingan dan transaksi berasingan dengan setiap pemegang saham MYEG Ventures,” maklum syarikat itu.

Zetrix AI menyatakan IPVG juga mempunyai pengaturan bagi pembelian baki 40.6 peratus kepentingan ekuiti dalam MYEG Ventures daripada pemegang saham lain.

Cadangan pengambilalihan prasyarat itu dijangka selesai dan dilaksanakan serentak dengan berakhirnya cadangan pengambilalihan yang diunjur selesai menjelang akhir suku ketiga 2026.

Apabila selesai, MYEG Ventures akan menjadi pelaburan di peringkat syarikat Zetrix dan akan dihapus kira apabila disatukan berikutan kepentingan ekuiti dalam MYEG Ventures akan membentuk pegangan kawalan dalam MYEG Philippines Inc yang bakal disatukan sebagai anak syarikat di peringkat kumpulan sejajar dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia berkaitan.

Pertimbangan pembelian sebanyak RM130.0 juta itu ditentukan berdasarkan penilaian dalaman oleh syarikat dengan mengambil kira nilai asas MYEG Ventures serta pelaburan asas utama dalam MYEG Philippines.

Pada 4 September lepas, Zetrix AI bertindak menamatkan perjanjian bernilai RM130 juta dengan Next Lion Ltd bagi pembelian 15.25 juta saham biasa dalam MYEG Ventures Inc yang mewakili 50 peratus kepentingan ekuiti.

Penamatan perjanjian itu dibuat selepas meneliti semula rasional komersial dengan mengambil kira faktor turun naik harga saham yang dipertimbangkan.

-- BERNAMA