GB Bond Sasar Raih RM16.08 Juta Menerusi IPO Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- GB Bond Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM16.08 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Okt 2026.
Syarikat yang menghasilkan pelekat industri berasaskan air, polimer emulsi dan bahan pengedap itu menerusi prospektusnya memaklumkan sebanyak RM5.5 juta daripada hasil IPO itu akan diperuntukkan bagi menyewa dan membeli mesin untuk kilang baharu.
Sebanyak RM3.5 juta lagi akan digunakan untuk pengembangan syarikat ke Vietnam manakala RM1.18 juta diperuntukkan bagi modal kerja dan RM900,000 bagi pembelian peralatan untuk formulasi produk.
Menurut syarikat itu, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan bagi pemasaran produk manakala baki RM4.5 juta digunakan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya Gooi Zi Jing pada sidang media hari ini berkata syarikat itu yang memasuki pasaran Vietnam pada 2009 berhasrat untuk memperkukuh operasi di negara berkenaan bagi meningkatkan pertumbuhan jualan serta menawarkan sokongan pelanggan yang lebih cekap.
“Memandangkan kami telah memulakan operasi pada 2009 dan memahami budaya serta segala aspek berkaitan, kami perlu meningkatkan jualan.
“Oleh itu, kami perlu mewujudkan pasukan tempatan termasuk pasukan khidmat pelanggan supaya dapat membantu pelanggan dengan lebih cekap,” katanya.
Gooi berkata pengembangan yang dirancang itu dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun, namun syarikat itu menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaannya.
Beliau berkata lokasi bagi pengembangan di Vietnam itu telah ditetapkan di kawasan perindustrian wilayah Binh Duong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Nicole Eng Pek Yui berkata Vietnam sebelum ini menyumbang kira-kira 5.6 peratus kepada jumlah perolehan kumpulan, dan syarikat menjangka pengembangan itu meningkatkan sumbangan berkenaan.
Menurut prospektus itu, modal saham diperbesarkan GB Bond selepas penyenaraian berkenaan akan terdiri daripada 412.3 juta saham, dengan permodalan pasaran sebanyak RM103.08 juta berdasarkan harga IPO 25 sen sesaham.
Permohonan IPO itu dibuka hari ini dan akan berakhir pada 22 Sept 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.
-- BERNAMA