BERITA TERKINI   Piala FA: Selangor FC 2-1 Sabah FC (aggregat 4-3) | Piala FA: KL City FC 0-0 Perak FA (agregat 1-0) | Piala FA: DPMM 2-3 Terengganu FC | UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama - Mohamad | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Kadar Faedah Dijangka Meningkat

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu berikutan unit negara maju itu menyusut ketika pasaran menilai prospek kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Pada 8 pagi, unit tempatan mengukuh kepada 4.0560/0635 berbanding dolar AS daripada 4.0605/0640 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan memilih kadar faedah penanda aras yang lebih tinggi apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bermesyuarat pada 15 dan 16 September.

“Lelongan nota Perbendaharaan AS bagi bil dengan tempoh tiga bulan dan enam bulan masing-masing mencatatkan hasil yang lebih tinggi pada 3.80 peratus dan 3.89 peratus,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata yen Jepun mengukuh berbanding dolar AS kepada 153.53 yen, mencerminkan jangkaan yang lebih kuat untuk  Bank of Japan (BOJ) menaikkan kadar dasar, disokong oleh isyarat prestasi ekonomi yang teguh.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata BOJ dijangka menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas pada 18 September berikutan ekonomi memperlihatkan pertumbuhan yang baik di samping peningkatan inflasi 1.9 peratus pada Julai.

"Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua 2026 Jepun mencatatkan kadar tahunan 1.4 peratus berbanding anggaran konsensus 1.1 peratus.

“Selain itu, pertumbuhan gaji dalam kalangan pekerja Jepun terus meningkat kepada 4.7 peratus tahun ke tahun pada Julai berbanding jangkaan pasaran sebanyak 3.9 peratus," katanya.

Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel Stephen Innes berkata pasaran mata wang menyifatkan langkah kadar faedah yang dijangka dilaksanakan Fed lebih kepada kenaikan kadar untuk tujuan perlindungan, bukannya permulaan kepada kitaran mengetatkan dasar monetari untuk tempoh berpanjangan.

“Pelabur berpandangan langkah ini boleh ditarik balik dalam tempoh yang singkat sebaik sahaja ketegangan di Asia Barat reda dan harga minyak kembali stabil menghampiri paras pertengahan US$80 setong, yang dijangka semakin dianggap sebagai norma baharu,” katanya.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.6437/6488 daripada 2.6374/6398 semasa ditutup pada Selasa, turun berbanding euro kepada 4.7167/7254 daripada 4.7151/7191 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4934/5036 daripada 5.4926/4974.

Ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3241/3529 daripada 12.3285/3447 semasa ditutup sebelumnya, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.47/6.49 daripada 6.48/6.49 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.0/230.5 daripada 230.3/230.5.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2081/2143 daripada 3.2073/2104 sebelumnya.

-- BERNAMA