BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut dipercayai tertimbus tanah berhampiran tangki air Taman Kedidi, Pasir Gudang pagi tadi - Bomba | Semua institusi pendidikan di Johor kembali beroperasi Isnin ini susulan trend penurunan bacaan IPU sejak lima hari lepas – Exco | Kenaikan harga petrol dunia: kerajaan sedia tanggung subsidi hingga RM45 bilion setahun, elak rakyat terbeban - PM Anwar | KDN serah urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS kepada KSU KDN dan KSN – Saifuddin Nasution | JPN keluarkan 275,785 MyKad generasi baharu setakat 20 Okt , Johor tertinggi sebanyak 31,392 kad - Saifuddin Nasution | 

Selangor Sasar Pelaburan RM90 Bilion Tahun Ini - Amirudin

BANGI, 24 Okt (Bernama) -- Selangor menyasarkan pelaburan berjumlah RM90 bilion tahun ini, meningkat daripada RM80 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas susulan momentum pelaburan yang menggalakkan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri yakin dapat terus menarik pelaburan domestik dan asing menerusi usaha memperkukuh daya saing ekonomi serta menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelabur.

“Kita menyasarkan pelaburan RM90 bilion tahun ini berdasarkan potensi dan prestasi pelaburan yang ditunjukkan Selangor,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Kita Komuniti Sungai Ramal di Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Ad Banner

Sebelum ini, Selangor merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM70 bilion bagi separuh pertama 2026, sekali gus memberi asas kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan sasaran pelaburan tahunannya.

Katanya prestasi itu turut memperkukuh kedudukan Selangor sebagai antara destinasi utama pelaburan negara, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Amirudin berkata Selangor turut menyumbang 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menjadikannya antara pemacu utama aktiviti ekonomi Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata nilai ekonomi negeri itu kini dianggarkan RM460 bilion dan dijangka mencecah RM500 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata bahawa pencapaian baik pelaburan Selangor turut didorong oleh strategi kerajaan negeri yang konsisten menjalankan misi pelaburan ke luar negara, termasuk ke Perancis, Jerman, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Sementara itu, beliau berkata prestasi ekonomi dan pelaburan negeri perlu disertai usaha memastikan rakyat turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan berkenaan.

Katanya kerajaan perlu mengimbangi usaha menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dengan pelaksanaan inisiatif yang dapat membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Amirudin berkata pendekatan itu selaras dengan prinsip ‘menggapai ke langit, mengakar di bumi’, iaitu memastikan pencapaian pada peringkat antarabangsa bergerak seiring dengan usaha menjaga kebajikan masyarakat.

Beliau berkata kerajaan negeri juga terus menilai pelaksanaan pelbagai program bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, matlamat pembangunan bukan sekadar mencapai angka pertumbuhan yang baik, tetapi memastikan rakyat daripada pelbagai kaum dapat menikmati kemajuan dan kehidupan yang lebih selesa.

“Bagi kerajaan negeri, pelaburan bukan sekadar angka, tetapi yang penting ialah bagaimana pertumbuhan ekonomi itu dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi, ekonomi digital dan industri bernilai tambah tinggi bagi meningkatkan daya saing Selangor dan menarik pelaburan berkualiti.

-- BERNAMA