BERITA TERKINI   Liga Super: KRW FC 1-3 KL City FC | Liga Super : JDT 3-0 DPMM FC | Banjir Nepal-China : 55 rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi setakat 4 Sept - Wisma Putra | Malaysia akan hantar 11 anggota SMART ke Nepal seawal 5 Sept - Wisma Putra | 
Ad Banner

Petronas Tingkat Keupayaan Platform myPROdata Bagi Percepat Pelaburan Huluan

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), telah mempertingkatkan keupayaan Petronas myPROdata dengan kecerdasan buatan (AI) berejen untuk menyediakan pandangan mengenai data penerokaan dan pengeluaran (E&P) Malaysia kepada pelabur dan pemain industri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan penambahbaikan itu susulan perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini dengan Iraya Energies Sdn Bhd untuk menyokong keputusan pelaburan dan memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sektor huluan.

Petronas myPROdata ialah platform berasaskan web yang memberikan akses kepada data bawah tanah dan permukaan berkaitan blok penerokaan, potensi sumber yang telah ditemui dan medan pengeluaran di Malaysia.

Ad Banner

“Platform yang telah dipertingkat itu akan mengintegrasikan data geologi, geofizik, kejuruteraan dan data lain yang berkaitan dengan keupayaan AI berejen yang boleh menganalisis dan menghubungkan pelbagai sumber data secara berautonomi.

“Ia sekali gus membolehkan pengguna mengendali, menganalisis dan mendapatkan pandangan mendalam daripada data huluan yang kompleks dengan lebih cekap,” menurut kenyataan itu.

Platform itu juga menyokong penilaian menyeluruh dari awal hingga akhir, daripada mengenal pasti kawasan berpotensi dan menilai sumber, sehinggalah menilai peluang pembangunan dan daya maju komersial.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Kanan MPM Datuk Dr Bacho Pilong berkata platform yang dipertingkat itu akan membantu pelabur mengenal pasti dan menilai peluang sektor huluan Malaysia dengan lebih pantas dan yakin.

“Dengan menggabungkan data yang dipercayai dan kepintaran dikuasakan AI, kami berhasrat untuk membolehkan keputusan pelaburan dibuat secara lebih pantas dan bermaklumat, seterusnya menyumbang kepada aspirasi Petronas untuk menarik pelaburan huluan tahunan sekitar RM50 bilion hingga RM60 bilion di samping memendekkan tempoh daripada penemuan sehinggalah kepada pengeluaran hidrokarbon pertama dari 100 bulan kepada 50 bulan.

“Ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan yang berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

Menurut Petronas, inisiatif itu membuktikan peranannya sebagai pembentuk, pemacu dan pengawal selia industri huluan Malaysia melalui pemerkasaan ekosistem pelaburan serta menyokong pertumbuhan berterusan dan pembangunan bertanggungjawab untuk sumber hidrokarbon negara.

-- BERNAMA