AmFIRST REIT Keluar Pekeliling Cadangan Penjualan Menara AmBank Bernilai RM331 Juta
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- AmREIT Managers Sdn Bhd (AmREIT), pengurus AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT) hari ini mengumumkan telah mengeluarkan pekeliling kepada pemegang unit berhubung cadangan penjualan Menara AmBank kepada AmBank (M) Bhd dengan bayaran tunai sebanyak RM331 juta.
AmFIRST REIT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mendapatkan kelulusan pemegang unit bagi cadangan itu.
EGM itu akan diadakan pada 21 September 2026, pukul 11 pagi atau sejurus selepas tamatnya Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 AmFIRST REIT yang akan diadakan pada hari yang sama.
Menurut syarikat itu, cadangan pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi rasionalisasi berterusan portfolio AmFIRST REIT bertujuan untuk mengoptimumkan prestasi aset, meningkatkan fleksibiliti kewangan dan mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
"Cadangan pelupusan ini dijangka menjana penjimatan kos faedah tahunan melalui penyelesaian pinjaman bercagar dan pembayaran balik sebahagian kemudahan pembiayaan tertunggak, sekali gus menghapuskan spread hasil negatif dan memberikan impak kewangan yang bertambah kepada AmFIRST REIT," maklumnya.
Ketua pegawai eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd dan pengurus AmFIRST REIT, Chong Hong Chuon percaya cadangan urus niaga itu akan menyediakan peluang menarik untuk memanfaatkan nilai daripada aset matang dan berprestasi rendah sambil mengukuhkan lembaran imbangan AmFIRST REIT dan meningkatkan fleksibiliti kewangannya.
"Setelah penjualan selesai, hasil jualan akan digunakan terutamanya untuk mengurangkan hutang, yang akan membawa kepada penjimatan kos pembiayaan yang besar dan pengurangan ketara tahap kadar hutang.
"Ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan AmFIRST REIT dan meningkatkan fleksibilitinya untuk mencari peluang yang menyokong strategi penyusunan semula dan kepelbagaian portfolionya ke dalam aset yang menjana hasil lebih tinggi dengan aliran pendapatan berdaya tahan, sekali gus meningkatkan kemampanan pendapatan dan menyokong penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang unit," katanya.
Menara AmBank, sebuah menara pejabat 46 tingkat yang dibina khas terletak di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, telah menjadi sebahagian daripada portfolio AmFIRST REIT sejak 2006.
Chong berkata walaupun aset tersebut terus menyumbang pendapatan kepada REIT, hasil pendapatan hartanah bersihnya kekal di bawah purata kos pinjaman AmFIRST REIT dalam beberapa tahun kebelakangan.
Ini, katanya disebabkan oleh penghunian rendah yang berpanjangan dan kadar sewa rendah, yang mencerminkan cabaran dihadapi pasaran pejabat Kuala Lumpur, termasuk lebihan bekalan struktur dan persaingan yang semakin sengit daripada pembangunan pejabat yang lebih baharu.
Berdasarkan kesan pro forma yang didedahkan dalam pekeliling tersebut, setelah pelupusan selesai, tahap gearan AmFIRST REIT dijangka meningkat daripada kira-kira 46.6 peratus kepada 33.9 peratus, sekali gus meningkatkan fleksibiliti kewangan dengan menyediakan ruang hutang tambahan untuk pengambilalihan yang meningkatkan hasil dan/atau inisiatif peningkatan aset.
Cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku terakhir 2026, katanya.
-- BERNAMA