BERITA TERKINI   Liga Super: KRW FC 1-3 KL City FC | Liga Super : JDT 3-0 DPMM FC | 
Ad Banner

MDEC Dilantik Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional, Agensi Pelaksana Program Digital AgTech

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional serta Agensi Pelaksana Program Digital AgTech bagi memacu transformasi digital dalam sektor agromakanan.

MDEC berkata pelantikan yang diumumkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 30 Ogos lepas akan memperluas mandatnya dalam mempercepat penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital merentasi sektor agromakanan.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan sumber, memperkukuh keterjaminan makanan serta melonjakkan daya saing industri,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi digital merupakan dua agenda strategik negara yang saling berkait rapat.

Justeru itu, beliau berkata pelantikan itu akan membantu petani dan usahawan tani meningkatkan kecekapan, memperluas peluang pasaran serta memperkukuh daya tahan bekalan makanan negara.

“Melalui i-AGRI, BidFresh dan Agrovator@Sekolah, kami membina ekosistem yang menghubungkan data, inovasi, pembangunan bakat dan akses pasaran,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sehingga kini, lebih 800 sistem Digital AgTech termasuk lebih 100 sistem berasaskan AI telah dipasang di seluruh negara oleh syarikat teknologi tempatan berstatus Malaysia Digital (MD).

Pelaksanaannya merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, manakala lebih 30,000 peserta telah menerima latihan serta pendedahan teknologi Digital AgTech.

MDEC berkata majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran tiga inisiatif strategik, iaitu Platform Pengadaptasian Teknologi Pertanian Digital (i-AGRI), Platform BidFresh dan Program Agrovator@Sekolah.

Ketiga-tiga inisiatif itu saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara melalui perancangan berasaskan data, peluasan akses pasaran dan pembangunan bakat masa hadapan.

Platform i-AGRI merupakan platform bersepadu yang menghimpunkan maklumat mengenai pengadaptasian teknologi bagi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur melalui statistik, peta, carta serta paparan (visual) interaktif.

Sementara itu, BidFresh pula menghubungkan usahawan tani secara terus dengan pembeli melalui platform digital yang memudahkan padanan pasaran, perkongsian maklumat dan urusan transaksi.

Inisiatif Agrovator@Sekolah bermatlamat membangunkan bakat nasional yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai AI, IoT, automasi dan pertanian pintar.

Dilaksanakan dengan kerjasama DXN Holdings Bhd sebagai rakan strategik, inisiatif ini menggabungkan pembelajaran interaktif dan cabaran inovasi bagi memupuk minat terhadap Digital AgTech.

-- BERNAMA