Pasaran Getah Ditutup Tinggi
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah ditutup tinggi pada Rabu berikutan kebimbangan mengenai gangguan bekalan disebabkan El Nino dan permintaan yang berdaya tahan daripada sektor automotif Amerika Syarikat (AS) yang menyokong sentimen pasaran, kata peniaga.
Bagaimanapun, katanya kenaikan dikekang oleh ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS, harga niaga hadapan getah serantau yang lemah, harga minyak yang rendah, ketegangan perdagangan baharu AS-China dan data ekonomi AS yang lemah.
“Saham Asia kebanyakannya meningkat semula pada Rabu berikutan penurunan mendadak harga minyak yang mengurangkan kebimbangan mengenai inflasi manakala harga getah yang tinggi di China dan keadaan penawaran-permintaan yang lebih baik memberikan sokongan kepada sentimen pasaran.
“Permintaan terhadap kenderaan AS yang berdaya tahan kekal menyokong, dengan kadar jualan kenderaan baharu pada Ogos dijangka kekal melebihi paras kadar tahunan pelarasan bermusim (SAAR) sebanyak 16 juta, menunjukkan permintaan terhadap tayar yang stabil,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat satu sen kepada 958 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik tiga sen kepada 684.50 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup semalam sempena cuti umum Maulidur Rasul.
-- BERNAMA