BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 3-1 Star City FC | Selangor raih juara keseluruhan SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | Perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen dan penembak Pahang Cheah Zen Hong dinobat Atlet Terbaik Wanita dan Lelaki SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | 1 Sept diumum cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen Selangor rangkul juara keseluruhan SUKMA 2026 - MB Selangor | 

WCE Holdings Teliti Sambungan Lebuh Raya Jajaran Selatan Dengan Rangka Kerja Biaya Dan Dasar

PETALING JAYA, 24 Ogos (Bernama) -- WCE Holdings Bhd akan menilai dengan teliti sebarang cadangan rasmi membabitkan sambungan Selatan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), dengan mengambil kira dasar semasa, pembiayaan dan rangka kerja pembangunan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Lyndon Alfred Felix berkata syarikat itu akan mengkaji butiran mengenai sebarang cadangan dan menilai keseluruhan merit serta implikasi sebelum menentukan kedudukannya.

“Pada peringkat ini, kami belum mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menjalankan kajian secara menyeluruh dan terperinci.

Ad Banner

“Namun sebaik sahaja kami menerima maklumat terperinci dan sekiranya kami dapat menyimpulkan bahawa projek itu berdaya maju, maka ya, saya fikir sambungan Jajaran Selatan pasti akan memberi manfaat kepada WCE sedia ada kerana ia akan membawa lebih banyak trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 WCE Holdings 2026 di sini hari ini.

Lyndon turut menggesa kerajaan agar memberikan sokongan yang mencukupi bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan terutamanya di tengah-tengah peningkatan kos pembinaan dan cabaran pengambilalihan tanah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Daripada anggaran kami, kos pembinaan meningkat secara agak ketara manakala pengambilalihan tanah terbukti menjadi risiko utama bagi kami. Tanpa sokongan kerajaan yang mencukupi untuk menangani isu-isu ini, risiko (projek ini) adalah terlalu tinggi.

“Kami perlu mengkajinya, menilai risiko, melihat kos pembinaan dan meneliti isu-isu pengambilalihan tanah sebelum kami dapat membuat kesimpulan yang jelas,” tambah beliau.

Pada 9 April, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk meneroka dua projek lebuh raya utama di bawah model penswastaan iaitu cadangan sambungan WCE Jajaran Selatan sejauh 303.5 kilometer (km) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor dan jalan raya sejauh 118.7 km yang menghubungkan Simpang Pelangai di Pahang ke Putrajaya.

Kementerian berkenaan menyatakan langkah itu bertujuan mengoptimumkan pengurusan kos dan meningkatkan kecekapan fiskal negara.

-- BERNAMA