Syarikat Tersenarai Di Nasdaq, Intuitive Labur Hampir US$500 Juta Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Intuitive Surgical Inc, syarikat perintis pembedahan bantuan robotik Amerika Syarikat (AS) dan disenaraikan di Nasdaq, menjangkakan pelaburannya di Pulau Pinang mencecah hampir US$500 juta (US$1=RM4.08) sepanjang tempoh lima tahun pertama operasinya di negeri itu.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Pembuatan serta Rantaian Bekalan Intuitive, Mark Brosius berkata pelaburan lima tahun itu akan merangkumi perbelanjaan untuk peralatan pembuatan, latihan pekerja dan keperluan operasi yang lain setelah membangunkan tapak pembuatannya di Pulau Pinang.

"Pelan lima tahun ini akan berbeza-beza bergantung kepada pasaran, jadi angka itu tidak semestinya tepat. Tetapi sepanjang tempoh lima tahun pertama operasi, jika anda mengambil kira semua kos overhed latihan pekerja, saya percaya ia sepatutnya menghampiri separuh bilion dolar AS," katanya

Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis pengumuman perjanjian pajakan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini, hari ini.

Brosius berkata kemudahan seluas 29,357.36 meter persegi di Taman Teknologi Bandar Cassia itu hanya merupakan permulaan kepada rancangan jangka panjang Intuitive di Pulau Pinang. Kemudahan berkenaan dijangka menggaji sekurang-kurangnya 1,200 pekerja dan memperluaskan lagi tenaga kerjanya apabila operasi makin berkembang.

Beliau berkata kehadiran Intuitive juga akan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas melalui rantaian bekalannya, dengan mengambil kira bagi setiap dolar yang dilaburkan untuk operasi kilangnya, syarikat itu lazimnya membelanjakan kira-kira US$5 untuk bahan mentah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata kemudahan yang sangat automatik itu memerlukan pelbagai tenaga kerja berkemahiran teknikal, termasuk jurutera mekanikal, elektrik, kawalan, kualiti dan pembuatan, selain juruteknik serta pakar kualiti.

Brosius berkata Pulau Pinang dipilih kerana memiliki kumpulan bakat yang kukuh, ekosistem peranti perubatan yang mantap, ketersediaan para pembekal yang layak yang memenuhi piawaian antarabangsa, infrastruktur cekap dan persekitaran perniagaan yang mesra pelaburan.

"Bagi kami, ini adalah satu komitmen jangka panjang. Kami melihat terdapat hab teknologi peranti perubatan yang besar di sini dan iklim perniagaan yang hebat, serta infrastruktur yang sangat maju dan cekap," kata beliau.

Kilang di Pulau Pinang itu akan menjadi kemudahan pembuatan kedua Intuitive di Asia selepas Shanghai, China dan kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara.

Ia akan mengeluarkan instrumen pembedahan dan peranti elektromekanikal yang digunakan bersama sistem pembedahan da Vinci daripada Intuitive untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan industri global terhadap ekosistem perindustrian matang di Pulau Pinang, tenaga kerja mahir dan keupayaan pembuatan, di samping terus mengukuhkan ekosistem teknologi perubatan (MedTech) negeri yang semakin berkembang.

Beliau berkata pelaburan syarikat itu akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk pembuatan teknologi perubatan termaju dan menyokong aspirasinya untuk menjadi hab MedTech terkemuka di Asia Tenggara.

-- BERNAMA