KDNK Sektor Komoditi Meningkat Kepada RM19.65 Bilion Pada Suku Pertama 2026 - Noraini
PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi mencatatkan sumbangan sebanyak RM19.65 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026, meningkat berbanding RM18.95 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata dalam tempoh sama, eksport produk berasaskan komoditi turut menjana RM41.62 bilion kepada negara, namun pencapaian itu tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan angka semata-mata.
Katanya peningkatan eksport dan produktiviti perlu diterjemahkan kepada penciptaan nilai tambah dalam negara serta peningkatan pendapatan pekebun kecil selain memastikan lebih ramai pemain industri dan usahawan mendapat manfaat daripada pembukaan pasaran baharu.
“Apabila eksport meningkat, kita perlu bertanya bagaimana lebih banyak nilai dapat diwujudkan dalam negara. Apabila produktiviti meningkat, kita perlu memastikan pendapatan pada peringkat bawah turut meningkat.
“Apabila pasaran baharu dibuka, kita perlu memastikan lebih ramai pemain industri, usahawan dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada peluang tersebut. Itulah ukuran sebenar kejayaan kita,” katanya pada perhimpunan bulanan kementerian di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.
Noraini berkata dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu termasuk tekanan terhadap rantaian bekalan, perubahan kos logistik serta tuntutan kelestarian yang semakin tinggi, kementerian perlu bertindak pantas membaca perubahan, mengekalkan pasaran sedia ada dan meneroka pasaran baharu tanpa mengabaikan kepentingan pekebun kecil.
Beliau berkata China kekal sebagai antara pasaran terpenting bagi produk agrikomoditi Malaysia manakala nilai eksport agrikomoditi ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Katanya perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan kementerian dalam memperkukuh sektor hiliran serta memperluas pasaran bagi produk bernilai tambah Malaysia.
“China kekal sebagai antara pasaran penting kepada produk agrikomoditi Malaysia, khususnya dalam usaha kita memperkukuh sektor hiliran dan produk bernilai tambah.
“Pada masa yang sama, pasaran India turut menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan apabila nilai eksport agrikomoditi ke negara itu meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.
Noraini berkata kementerian akan terus memperkasakan agenda peralihan tenaga melalui Program Biodiesel Negara serta pembangunan industri biobahan api, termasuk meneroka potensi penggunaan minyak masak terpakai dalam penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan sektor agrikomoditi kini bukan lagi hanya tertumpu kepada hasil ladang, sebaliknya menjadi sebahagian daripada agenda tenaga, teknologi, kelestarian dan ekonomi masa depan negara.
Noraini berkata MPOB turut memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026, selain pembangunan Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT bagi memperkukuh aspek kebolehkesanan industri dalam memenuhi kehendak pasaran global.
Katanya Program Salam Agrikomoditi juga akan diteruskan ke seluruh negara bagi membolehkan kementerian mendekati lebih 600,000 pekebun kecil persendirian selain menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif termasuk BUDI AgriKomoditi, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), khidmat nasihat agensi serta program pembangunan pekebun kecil.
“Kita telah memulakan Program Salam Agrikomoditi pada 25 Julai lepas di Negeri Sembilan dan saya mahu program turun padang ini disusun ke kawasan pekebun kecil di seluruh negara.
“Saya mahu program ini bergerak secara berterusan dari satu negeri ke satu negeri supaya kehadiran KPK dapat dirasai oleh masyarakat yang bergantung pada sektor agrikomoditi,” katanya.
-- BERNAMA