BERITA TERKINI   Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdul Rahman Hamid meninggal dunia hari ini - Presiden PVRTM | Ewon Benedick kekal Presiden UPKO bagi penggal 2026-2029 | Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini | 

Profesion Perakaunan Berteraskan Kepercayaan Penting Kepada Daya Saing Malaysia - MIA

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Profesion perakaunan di Malaysia mesti berkembang menjadi profesion yang bersedia untuk masa depan, didorong oleh nilai dan berteraskan kepercayaan untuk mengukuhkan daya saing ekonomi negara dalam persekitaran transformasi teknologi dan permintaan kemampanan yang semakin meningkat.

Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Datuk Saniza Said menekankan bahawa golongan profesional dalam bidang perakaunan hari ini memainkan peranan jauh lebih luas sebagai penasihat perniagaan, membuat keputusan strategik dan memelihara keyakinan pihak berkepentingan serta mengamalkan sikap skeptisisme (keraguan) profesional dan pertimbangan profesional.

Ad Banner

Saniza yang juga presiden wanita pertama MIA, dipilih pada 8 Disember, 2025 berkata para akauntan perlu membina kepercayaan pihak berkepentingan sebagai profesion yang mendukung kepercayaan dan integriti.

"Kita perlu mempromosikan prinsip etika, ketelusan, akauntabiliti dan integriti. Kita mesti membina kepercayaan pihak berkepentingan dalam profesion perakaunan sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kepentingan awam," katanya kepada Bernama.

 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Guna Kecerdasan Buatan (AI) dan Terima Transformasi Digital

Walaupun kepercayaan, integriti dan etika adalah asas profesion ini, gologan profesional dalam bidang perakaunan harus meningkatkan kemahiran dan melakukan transformasi agar kekal relevan dalam landskap perniagaan yang sentiasa berubah.

Saniza berkata transformasi teknologi tidak dapat dielakkan dan golongan profesional yang gagal menyesuaikan diri akan ketinggalan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi tidak harus dianggap sebagai ancaman kepada profesion ini kerana pertimbangan profesional manusia, tanggungjawab dan akauntabiliti tetap penting.

"Saya percaya kecerdasan buatan (AI) tidak akan merampas tugas akauntan. Anda boleh menggunakan AI untuk mengubah cara bookkeeping (merekod urus niaga kewangan), tetapi apabila melibatkan pertimbangan profesional, anda memerlukan manusia," katanya.

Saniza berkata aspirasi MIA adalah agar profesion perakaunan di Malaysia dipercayai, bersedia untuk masa depan, dan dihormati di peringkat global, serta terus menerima inovasi tanpa kompromi terhadap nilai terasnya.

Beliau berkata pelabur dan pasaran bergantung kepada golongan profesional perakaunan untuk memberikan jaminan bebas ke atas pendedahan kewangan, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi kewangan dipercayai walaupun salah laku kewangan dan scam (penipuan) menjadi semakin canggih.

 

Profesion Perakaunan Hampiri Titik Perubahan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIA, G. Shanmugam berkata profesion perakaunan sedang mengalami transformasi yang ketara dan menghampiri titik perubahan, didorong sebahagian besarnya oleh AI, analisis data, automasi dan teknologi baharu yang lain.

Beliau menegaskan bahawa teknologi akan semakin mengautomasikan tugasan perakaunan, membolehkan para profesional menumpukan perhatian kepada fungsi bernilai lebih tinggi seperti analisis data, strategi perniagaan, pengurusan risiko dan perkhidmatan perundingan.

Shanmugam bersetuju dengan pandangan Saniza bahawa peranan profesional perakaunan berkembang dengan pesat.

"Akauntan hari ini adalah penasihat perniagaan yang dipercayai kerana mereka memahami perniagaan, strategi dan pengurusan prestasi," katanya.

Beliau menekankan kepentingan akauntan membangunkan keupayaan berpandangan jauh untuk membantu perniagaan menjangka cabaran dan peluang.

"Pihak pengurusan dan pihak berkepentingan kini mengharapkan akauntan untuk membimbing mereka dengan berkata, 'Beritahu saya apa yang saya tidak tahu. Apa yang perlu saya lakukan esok dan pada masa depan?' Di sinilah strategi berpandangan jauh menjadi sangat penting," katanya.

Shanmugam berkata akauntan memerlukan kemahiran seperti analisis data dan analisis ramalan untuk mengenal pasti trend dan corak, menjangka peluang dan risiko masa depan, serta menasihati perniagaan mengenai strategi dan kemampanan masa depan.

Beliau berkata pelancaran Pelan Tindakan Kelestarian MIA untuk Profesion Perakaunan dan Pelan Hala Tuju Kelestarian MIA baru-baru ini dapat membantu ahli membangunkan kecekapan yang diperlukan.

Shanmugam berkata keupayaan ini akan membolehkan akauntan menyokong organisasi dalam pelaporan kelestarian dan berpotensi memberikan jaminan ke atas maklumat kemampanan apabila permintaan berkembang.

 

Meningkatkan Kemahiran Penting, Membentuk Akauntan Bersedia untuk Masa Depan

Ketika ini, MIA mempunyai kira-kira 42,000 ahli, dengan keahlian berkembang antara 1.5 hingga 2.0 peratus setiap tahun.

Untuk menyokong profesion ini, Shanmugam berkata MIA menganjurkan kira-kira 1,000 program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) setiap tahun serta persidangan, pembelajaran dalam talian dan inisiatif rangkaian.

"Fokus kami adalah untuk meningkatkan kemahiran mereka supata mereka kekal bersedia untuk masa depan, terutamanya dalam era teknologi dan AI ini," katanya.

Shanmugam berkata automasi sepatutnya menjadikan perakaunan lebih menarik kepada bakat muda dengan mengurangkan kerja berulang dan membolehkan graduan baharu bergerak dengan lebih pantas dalam melaksanakan tanggungjawab analitikal, pengurusan dan penasihat.

"Walaupun ramai orang mendakwa bahawa teknologi and AI sedang menghapuskan pekerjaan perakaunan, adalah penting untuk memahami bahawa ia mengambil alih tugasan biasa dan berulang. Hasilnya, sifat kerja perakaunan menjadi lebih menarik dan dinamik.

"AI sedang mengubah cara akauntan beroperasi dan mewujudkan pelbagai peluang baharu untuk bakat dalam bidang ini," katanya.

 -- BERNAMA