Niaga Hadapan MSM Kembali Pulih Susulan Harga Minyak Mentah, Kacang Soya Yang Lebih Kukuh
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives kembali pulih untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa di tengah-tengah harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran turut didorong oleh permintaan yang kukuh bagi eksport minyak dari India.
“Kami melihat paras harga sokongan melebihi RM4,560 setan dan paras rintangan pada RM4,750 setan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata pemulihan harga MSM didorong oleh keadaan kembali pulih selepas mencatatkan penurunan dua hari sebelumnya, selain disokong oleh gabungan pembelian murah dan harga minyak mentah yang lebih tinggi.
“Minyak kacang soya yang ditutup lebih tinggi dalam dagangan semalaman di Chicago Mercantile Exchange dan semasa waktu dagangan Asia turut menyokong pasaran sawit yang lebih tinggi,” katanya.
Pada penutup, kontrak Ogos 2026 dan September 2026 masing-masing meningkat RM63 kepada RM4,551 setan dan RM4,652 setan.
Oktober 2026, Disember 2026 dan Januari 2026 masing-masing mengukuh RM67 kepada RM4,696 setan, RM4,764 setan, dan RM4,794 setan, manakala November 2026 menambah sebanyak RM69 kepada RM4,733 setan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 96,435 lot daripada 80,947 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 305,012 kontrak daripada 304,293 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat RM40 kepada RM4,560 setan.
-- BERNAMA