BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | 

Pasaran Getah Pulih Dipengaruhi Niaga Hadapan Serantau, Harga Minyak Mentah Lebih Kukuh

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur pulih untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa disokong oleh kenaikan pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang lebih kukuh dan data pembuatan global yang menggalakkan, kata seorang peniaga.

Peniaga itu memakluman bahawa data pembuatan global terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan jangkaan terhadap aktiviti perindustrian yang lebih kukuh dan peningkatan permintaan bagi getah asli.

Ad Banner

Beliau berkata harga minyak mentah kembali meningkat berikutan kebimbangan baharu terhadap gangguan bekalan yang dikaitkan dengan konflik di antara AS dengan Iran di Asia Barat sekali gus menyokong sentimen pasaran.

“Sentimen pasaran turut disokong oleh keyakinan terhadap rundingan semula di antara AS dengan Iran yang meningkatkan harapan bagi meredakan ketegangan geopolitik,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 2.78 peratus kepada US$86.10 setong.

Ad Banner

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan itu dihadkan oleh peningkatan bekalan bermusim getah asli di Asia Tenggara, paras inventori kenderaan yang tinggi di China, permintaan tayar yang masih lemah serta ketidaktentuan yang berterusan terhadap prospek kadar faedah AS.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 17 sen kepada 896 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 694.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA