Jenayah Kewangan Digital Tuntut Pematuhan Lebih Pintar, Berasaskan Data ---Labuan FSA
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 4 Ogos (Bernama) -- Institusi kewangan mesti mengguna pakai sistem pematuhan yang lebih pintar, berteraskan data dan berasaskan risiko memandangkan jenayah kewangan kini semakin berasaskan digital, saling berkait selain sukar dikesan.
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Syahrul Imran Mahadzir berkata perkembangan melibatkan aset digital, tokenisasi dan mata wang digital bersandarkan aset kini menjadi sebahagian daripada pertimbangan risiko kewangan aliran perdana.
Selain itu, turut dalam pertimbangan risiko kewangan berkenaan ialah perkhidmatan kewangan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan proses pengenalan identiti pengguna (e-KYC) elektronik berautomatik.
“Jenayah kewangan juga telah beralih ke arah digital. Ia kini bergerak lebih pantas, lebih berangkai, lebih canggih dan tidak mengenal sempadan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Pematuhan Antarabangsa Labuan Kedua 2026 (LICC 2026) di sini hari ini.
Syahrul berkata hasil daripada penipuan, jenayah siber, perjudian dalam talian haram dan skim penipuan pelaburan akhirnya boleh memasuki sistem kewangan formal menerusi urus niaga perniagaan yang kelihatan sah.
Beliau menambah, isu yang dihadapi oleh pihak kawal selia dan industri kewangan bukanlah pilihan antara inovasi atau kawal selia sebaliknya keperluan untuk memacu inovasi secara bertanggungjawab.
Katanya, teknologi baharu dan model perniagaan inovatif harus dibiarkan berkembang, namun perlu disokong oleh jaminan keselamatan yang mampu memelihara keyakinan, kredibiliti dan integriti sistem kewangan.
"Teknologi boleh menjana amaran, papan pemuka boleh menunjukkan aliran dan kecerdasan buatan boleh mengesan corak, namun pertimbangan yang wajar kekal penting.
"Soalan paling utama dalam pematuhan masih terletak pada manusia: Adakah ini masuk akal?” katanya, sambil menambah piawaian pematuhan global kini semakin beralih daripada sekadar kertas kerja kepada hasil yang boleh dibuktikan.
Meskipun dasar, fail pelanggan dan senarai semak pematuhan kekal penting, katanya, pihak kawal selia juga berharap institusi kewangan dapat membuktikan bahawa risiko difahami dengan sewajarnya, langkah kawalan berfungsi dan tanda-tanda amaran diambil tindakan dengan pantas.
“Fail yang dilengkapkan dengan baik itu penting, tetapi pelanggan yang difahami dengan mendalam adalah jauh lebih berharga,” tambah beliau.
Beliau memerhatikan bahawa pegawai pematuhan bukan lagi sekadar penterjemah keperluan kawal selia, malah turut berperanan sebagai penterjemah risiko, penasihat kawalan dan penjaga kepercayaan organisasi.
Syahrul menyatakan laporan penilaian bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) 2025 mengiktiraf pertahanan Malaysia yang semakin kukuh dalam menangani kewangan haram dengan 24 syor dinilai sebagai “patuh” dan 16 dinilai sebagai “sebahagian besarnya patuh”.
Bagaimanapun, beliau mengambil maklum bahawa penipuan pelaburan, aktiviti jenayah rentas sempadan serta penyalahgunaan struktur korporat kekal menjadi elemen utama dalam profil risiko negara yang sentiasa berkembang.
Perkembangan aset maya termasuk mata wang digital bersandarkan aset dan dompet tanpa hos juga boleh mewujudkan saluran tambahan bagi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan menerusi pemindahan rakan-ke-rakan (P2P), transaksi merentas rantaian dan rangkaian aset maya.
Syahrul berkata satu laporan sasaran FATF menyatakan mata wang digital bersandarkan aset telah melebihi nilai permodalan pasaran sebanyak US$300 bilion menjelang pertengahan 2025 manakala aktiviti haram semakin banyak melibatkan aset maya.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengunjurkan pusat penipuan berskala industri menjana keuntungan tahunan hampir US$40 bilion dengan hasil tersebut dicuci melalui mata wang kripto, rangkaian perbankan bawah tanah serta saluran kewangan global.
Sementara itu, penalti institusi kewangan global sepanjang separuh pertama 2025 berjumlah kira-kira US$1.23 bilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 417 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan syarikat aset digital menerima perhatian kawal selia yang lebih besar, menurut Syahrul.
Berdasarkan latar belakang ini, beliau menggariskan empat keutamaan bagi institusi kewangan.
Beliau berkata institusi kewangan mesti memahami pelanggan mereka dan bukannya sekadar menyimpan rekod pelanggan terutamanya berkaitan aktiviti rentas sempadan, struktur pemilikan yang kompleks, sumber dana dan pendedahan kepada aset digital.
Mereka juga mesti memperkasakan pemantauan transaksi berasaskan risikan, penyaringan sekatan dan prosedur pematuhan peringkat tinggi bagi mengenal pasti aktiviti luar biasa secara lebih cekap.
Beliau berkata kawalan pematuhan perlu disesuaikan dengan model perniagaan, asas pelanggan dan profil risiko setiap institusi di Labuan terutamanya memandangkan kebanyakan institusi tersebut merupakan cawangan atau anak syarikat kumpulan kewangan antarabangsa.
“Pada masa sama, pematuhan tidak seharusnya bergerak secara berasingan atau menyekat perniagaan yang sah secara tidak wajar. Ia mesti mencapai keseimbangan yang tepat iaitu cukup kukuh untuk mempertahan akauntabiliti dan keyakinan kawal selia sambil menyokong pertumbuhan perniagaan secara bertanggungjawab,” tambah beliau.
-- BERNAMA