Pematuhan Satu Kelebihan Strategik Bagi Labuan IBFC, Bukan Halangan Perniagaan — Labuan FSA
LABUAN, 4 Ogos (Bernama) -- Institusi kewangan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) mesti menganggap pematuhan sebagai satu keupayaan strategik bagi memperkukuh daya saing dan bukan sekadar keperluan pengawalseliaan.
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Syahrul Imran Mahadzir berkata institusi dengan piawaian pematuhan yang kukuh akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memelihara akses pasaran, memperkukuh hubungan perbankan koresponden, menarik perniagaan yang berkualiti dan memacu keyakinan pelabur.
“Pematuhan bukan lagi harga bagi menjalankan perniagaan atau kekangan terhadap daya saing.
“Ia merupakan sumber kelebihan daya saing,” katanya dalam ucapan pembukaannya di Persidangan Pematuhan Antarabangsa Labuan Kedua (LICC) 2026 di sini hari ini.
Persidangan bertemakan ‘Usaha Wajar dan Pematuhan: Menavigasi Ketidakpastian Global’ itu merupakan anjuran bersama Persatuan Bank Labuan, Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan Bank Labuan dan Universiti Malaysia Sabah.
Selain itu, Syahrul Imran berkata daya saing Labuan IBFC bergantung kepada kemampuannya untuk menggabungkan kepesatan perniagaan dengan kredibiliti pengawalseliaan, bagi membolehkan perniagaan yang sah berkembang sambil melindungi integriti aliran kewangan dan mengekalkan keyakinan pasaran.
“Kekuatan Labuan bergantung bukan sahaja kepada kecekapan dan fleksibiliti, tetapi juga pada kredibiliti,” katanya.
Syahrul Imran berkata pematuhan seharusnya mencukupi untuk menegakkan akauntabiliti dan keyakinan kawal selia tanpa mengekang aktiviti perniagaan yang sah dan inovasi yang bertanggungjawab.
Beliau berkata Labuan FSA mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah apabila pertimbangan pematuhan perlu diambil kira ketika membuat keputusan perniagaan yang didorong oleh daya saing.
Tambahnya, pengawal selia akan terus menerima pakai pendekatan yang berkadar dan berasaskan risiko yang mengiktiraf kepelbagaian model perniagaan yang beroperasi dalam Labuan IBFC.
Labuan FSA turut menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab disokong oleh perlindungan yang sesuai, menyediakan panduan kawal selia, memudahkan program pembangunan keupayaan dan memperkukuh akauntabiliti lembaga pengarah serta pengurusan kanan.
“Lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi kewangan Labuan mesti terus bertanggungjawab terhadap budaya risiko, sumber pematuhan dan keberkesanan kawalan organisasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Syahrul Imran berkata Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan 2025 Malaysia menandakan peristiwa penting bagi negara dan rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan Labuan IBFC.
Jelasnya, penilaian itu mengiktiraf kemajuan besar Malaysia sejak penilaian sebelumnya pada 2015 dan meletakkan negara di bawah tahap tertinggi ‘Susulan Berkala’, berbanding status ‘Susulan Dipertingkatkan’ sebelumnya.
Pencapaian ini, katanya, mengukuhkan lagi kedudukan Labuan IBFC dalam rangka kerja pematuhan Malaysia yang lebih meluas dan menunjukkan komitmennya terhadap piawaian pengawalseliaan antarabangsa.
Pada masa sama, beliau turut menyeru kerjasama lebih kukuh antara Labuan FSA dan pemain industri, selain kerjasama yang lebih erat antara institusi kewangan, bagi mengelakkan timbulnya risiko sekiranya diuruskan secara berasingan.
"Dalam dunia kewangan yang semakin digital, saling berkaitan dan kompleks, tiada institusi atau bidang kuasa yang boleh berdiri dengan sendiri," katanya.
-- BERNAMA