Kerajaan Mempelbagai Akses Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara 

 KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Rusia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah. 

Ad Banner

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Rusia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada 20 Jun lepas, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

Petronas memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-- BERNAMA