Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Apabila Hasil Perbendaharaan AS Meningkat
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, apabila mengalami tekanan susulan kenaikan hasil Perbendaharaan AS dan ketidaktentuan baharu mengenai hala tuju dasar monetari negara itu.
Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0935/0975 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pelabur kini mengalihkan perhatian kepada beberapa data ekonomi AS yang akan diumumkan termasuk laporan bulanan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pergerakan Tenaga Kerja (JOLTS), data Guna Tenaga ADP serta Penggajian Bukan Perladangan (NFP) pada 7 Ogos.
“Data pasaran tenaga kerja AS yang akan datang penting dalam menentukan sama ada dolar AS mempunyai ruang untuk terus melemah. NFP pula kekal sebagai faktor risiko makro utama minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berbanding dolar AS bermula dengan pergerakan kukuh, apabila USD/MYR kekal pada sekitar RM4.0788 ketika sesi pagi sebelum secara beransur-ansur bergerak ke arah RM4.09 semasa sesi petang.
Beliau berkata bagaimanapun, yen Jepun menunjukkan peningkatan ketara, dengan dolar AS-yen pada 156.91 yen selepas melepasi paras 160 yen pada awal Jun.
Di samping itu, intervensi pihak berkuasa kerajaan Jepun mungkin merupakan faktor utama di sebalik peningkatan nilai mata wang tersebut, katanya.
“Kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS menunjukkan kerajaan AS turut mengambil bahagian dalam intervensi pasaran mata wang untuk menyokong nilai yen,” katanya.
Pada Ahad, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata Perbendaharaan masih berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan Jepun dan Bank of Japan, serta tindakan terselaras dalam pasaran pertukaran mata wang asing pada Jumaat telah membendung pergerakan yen yang tidak teratur.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk menyertai lagi intervensi bersama seterusnya,” katanya dalam catatat di platform X.
Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 2.6062/6089 daripada 2.5520/5548 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding euro kepada 4.7165/7211 daripada 4.6981/7027, dan kurang stabil berbanding pound British kepada 5.5053/5107 daripada 5.4923/4977.
Ringgit juga turun berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan lemah berbanding baht Thai kepada 12.2663/2827 daripada 12.2264/2435 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/227.7 daripada 226.6/226.8.
Ringgit turun sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.73 daripada 6.66/6.67, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1911/1944 daripada 3.1823/1856.
-- BERNAMA