WCT Perkukuh Kesediaan ESG Pembekal Melalui Program Queen Bee
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- WCT Holdings Bhd (WCT) melancarkan Program ESG Queen Bee, iaitu program sokongan pembekal berbayar yang menyediakan latihan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pembangunan strategi penyahkarbonan serta penilaian semula karbon bagi tempoh hingga dua tahun.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu memaklumkan program itu diperkenalkan pada sesi Vendor Sustainability Readiness Dialogue: Prepare for Future ESG and Project Requirements yang dihadiri wakil WCT, BSD Consultancy Sdn Bhd, Climate Asia Pte Ltd dan pembekal strategik terpilih dalam rantaian bekalan WCT.
WCT memaklumkan tahun pertama program akan menumpukan kepada latihan ESG dan perkongsian pengetahuan, penilaian garis dasar karbon serta pembangunan strategi penyahkarbonan manakala tahun kedua melibatkan penilaian semula karbon bagi pembekal yang mengambil bahagian dan meneruskan pelaksanaan strategi penyahkarbonan yang dicadangkan pada tahun pertama.
Yuran program akan ditentukan berdasarkan saiz dan skop operasi setiap pembekal yang mengambil bahagian.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, WCT telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama BSD Consultancy bagi mewujudkan rangka kerja bagi pembangunan dan pelaksanaan Program ESG Queen Bee WCT,” menurut kenyataan itu.
WCT memaklumkan anak syarikat BSD Consultancy, Climate Asia akan menyokong program itu menerusi kepakaran teknikal dalam aspek kemampanan dan perkhidmatan khidmat nasihat berkaitan karbon.
Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook dalam kenyataan sama berkata kumpulan itu sedar usaha membina masa depan yang mampan memerlukan komitmen kolektif di seluruh rantaian nilainya, dengan pembekal memainkan peranan penting dalam usaha tersebut.
“Menerusi Program ESG Queen Bee, kami berhasrat untuk menyokong pembekal terpilih dalam memperkukuh kesediaan dan keupayaan aspek kemampanan mereka selain menyumbang kepada rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan BSD Consultancy Kelly Lee berkata program itu membolehkan WCT memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menggalakkan pembekal dan rakan strategik mengambil langkah pertama ke arah kemampanan dan pengesanan karbon selaras dengan kepentingan yang semakin meningkat terhadap kesiapsiagaan rantaian bekalan dan pengesanan pelepasan Skop 3.
“WCT berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi antara peneraju awal dalam mempelopori pendekatan ini,” katanya.
Ditubuhkan pada 1981 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 1995, WCT mempunyai kira-kira 2,000 pekerja dan beroperasi di enam negara, dengan perniagaan teras merangkumi kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah serta pelaburan dan pengurusan hartanah.
-- BERNAMA