Belian Saat Akhir Saham Wajaran Tinggi Pacu Bursa Malaysia Ditutup Meningkat
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif & Karina Imran
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan dengan mencatat peningkatan kecil pada Isnin, disokong oleh aktiviti belian saat-saat akhir ke atas saham bermodal besar terpilih di tengah-tengah pemulihan sentimen pelabur walaupun dalam situasi ketidaktentuan geopolitik, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.83 mata kepada 1,725.73 daripada paras penutup 1,724.90 pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka menambah 0.36 mata kepada 1,725.26 dan bergerak dalam julat 1,719.47 hingga 1,729.72 sepanjang sesi hari ini.
Sentimen pasaran bagaimanapun kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 609 berbanding 490 manakala 573 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,058 tidak diniagakan dan 20 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.73 bilion unit bernilai RM2.33 bilion daripada 3.10 bilion unit bernilai RM3.57, Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau mengakhiri dagangan dengan kebanyakannya rendah di tengah-tengah kebimbangan baharu berkaitan perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan penilaian teknologi.
Bagaimanapun, katanya, sentimen pasaran sebahagiannya mendapat sokongan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membayangkan rundingan berkaitan Selat Hormuz akan bermula pada Isnin, sekali gus memberi harapan kemungkinan ketegangan geopolitik akan mereda dan mengurangkan risiko gangguan bekalan tenaga global yang berpanjangan.
“Berikutan itu, harga minyak mentah Brent susut secara ketara yang pada masa sama mengurangkan kebimbangan berkaitan inflasi dan memacu sentimen terhadap ekuiti global di masa akan datang,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Thong berkata para pelabur akan kekal dengan pendirian berhati-hati susulan prospek ekonomi global yang tidak menentu dan aliran masuk dana asing akan membantu menampung risiko pengurunan dan memberi sokongan terhadap pasaran tempatan.
“Berikutan itu, kami menjangkakan dagangan FBM KLCI dalam julat 1,710 hingga 1,740 pada minggu ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut enam sen kepada RM10.84, Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM14.50, IHH Healthcare berkurangan lima sen kepada RM8.30, Public Bank naik tiga sen kepada RM5.20 manakala CIMB meraih 12 sen kepada RM8.01.
Bagi saham paling aktif, Hubline turun setengah sen kepada tiga sen, Zetrix AI susut dua sen kepada 72.5 sen, HHRG berkurangan 1.5 sen kepada 11.5 sen, Tanco naik satu sen kepada 27 sen dan VS Industry tidak berubah pada 23 sen.
Saham paling untung didahului Nestlé yang naik RM1.60 kepada RM102.70, United Plantation untung 48 sen kepada RM34.20, Hong Leong Industries menokok 28 sen kepada RM18, AmBank menambah 27 sen kepada RM7.03 dan Lebtech meraih 21 sen kepada 86 sen.
Sebaliknya saham paling rugi menyaksikan Fraser & Neave mendahului apabila merosot 40 sen kepada RM27.50, Frontken Corporation susut 19 sen kepada RM5.02 manakala Petronas Chemical, SAM Engineering & Equipment dan Sunway Construction masing-masing turun 17 sen kepada RM4.61, RM4.38 dan RM7.75.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 0.63 mata kepada 12,752.42, Indeks FBM Top 100 meraih 0.09 mata kepada 12,585.20 namun Indeks FBM Mid 70 susut 25.27 mata kepada 18,110.51.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan sebanyak 38.93 mata kepada 12,557.36 dan Indeks FBM ACE meningkat 6.64 mata kepada 4,981.32.
Bagi sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menguncup 1.84 mata kepada 187.30, Indeks Tenaga turun 1.83 mata kepada 763.89, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 110.55 mata kepada 20,438.20 dan Indeks Perladangan meningkat 16.48 mata kepada 9,305.06.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.38 bilion unit bernilai RM2.05 bilion berbanding 1.50 bilion unit bernilai RM3.24 bilion pada Jumaat lepas.
Waran pula berkurangan kepada 868.17 juta unit bernilai RM122.04 juta berbanding 1.08 bilion unit bernilai RM139.50 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 474.34 juta unit bernilai RM164.93 juta daripada 509.99 juta unit bernilai RM189.47 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 168.87 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (252.97 juta), produk pembinaan (75.23 juta), teknologi (256.23 juta), perkhidmatan kewangan (87.43 juta), hartanah (165.22 juta), perladangan (14.08 juta), amanah pelaburan hartanah (12.53 juta), dana tertutup (53,300), tenaga (81.80 juta), penjagaan kesihatan (36.14 juta), telekomunikasi dan media (41.29 juta), pengangkutan dan logistik (168.78 juta), utiliti (28.32 juta) serta amanah perniagaan (5,400).
-- BERNAMA