Maybank Sasar Selesai Ambil Alih Maybank Ageas Holdings Akhir Suku Ketiga 2026

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan untuk memuktamadkan pengambilalihan baki 30.95 peratus kepentingan dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (MAHB) menjelang akhir suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata pemilikan penuh MAHB akan membolehkan kumpulan mempercepat fasa pertumbuhan seterusnya bagi Etiqa menerusi peluasan operasi serantau, pengukuhan perniagaan bankasurans dan bankatakaful serta penyampaian pengalaman pelanggan yang lebih lancar melalui integrasi digital.

Beliau berkata Maybank telah mengemukakan permohonan kepada BNM bagi mendapatkan kelulusan transaksi itu dan berharap proses berkenaan dapat diselesaikan mengikut jadual.

Ad Banner

"Kami telah mengemukakan permohonan kepada BNM hari ini. Selepas mendapat kelulusan, kami akan memeterai perjanjian pemegang saham dan masih menyasarkan urus niaga ini dapat dimuktamadkan dalam suku semasa," katanya pada taklimat media secara maya hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank berkata ia telah memeterai Perjanjian Pelaksanaan (Implementation Agreement) dengan Ageas Insurance International NV (Ageas) bagi mengambil alih baki 30.95 peratus pegangan dalam MAHB pada nilai RM4.83 bilion.

Pengambilalihan itu akan menjadikan Maybank pemilik tunggal MAHB, syarikat pemegangan kepada perniagaan insurans dan takaful Etiqa, sekali gus menamatkan kerjasama strategik selama 25 tahun dengan syarikat insurans berpangkalan di Belgium itu yang bermula pada 2001.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Khairussaleh berkata urus niaga tersebut dicapai atas persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas menilai bahawa tiba masanya untuk Maybank menerajui sepenuhnya fasa pertumbuhan baharu MAHB dan Etiqa.

"Ageas telah menjadi rakan kongsi kami sejak 2001 dan memainkan peranan penting dalam membangunkan perniagaan ini.

"Kini kami percaya sudah tiba masanya untuk membawa MAHB dan Etiqa ke peringkat seterusnya berdasarkan pengalaman serta keupayaan yang dimiliki Maybank," katanya.

Susulan pengambilalihan itu, Maybank merancang untuk mempercepatkan pengembangan Etiqa dengan memperkukuh integrasi dengan kumpulan perbankan, perniagaan bankasurans dan bankatakaful, mengembangkan francais insurans serantau dan meningkatkan pengalaman pelanggan melalui ekosistem paltform digitalnya.

Khairussaleh berkata kumpulan turut menyasarkan pertumbuhan premium sehingga 15 peratus berbanding purata kira-kira 9.2 peratus yang dicatatkan sepanjang tiga tahun lepas.

Pada masa sama, ia menyasarkan sumbangan saluran pengedaran banca meningkat kepada 50 peratus daripada jumlah premium keseluruhan berbanding kira-kira 40 peratus ketika ini, selain meningkatkan pulangan atas ekuiti (ROE) daripada 12.3 peratus kepada paras pertengahan belasan peratus.

Sasaran itu realistik, katanya, memandangkan Etiqa telah mencatat kadar pertumbuhan yang mengatasi industri insurans di Malaysia dan Singapura sepanjang sedekad lalu.

"Momentum pertumbuhan kami adalah baik. Namun, fokus kami bukan sekadar meningkatkan premium, sebaliknya memastikan pertumbuhan tersebut diterjemahkan kepada margin yang lebih kukuh dan keuntungan yang mampan," kata beliau.

Selain Malaysia dan Singapura, Maybank juga merancang mengembangkan lagi perniagaan insurans di Indonesia, Filipina dan Kemboja, sejajar strategi memanfaatkan kehadiran sedia ada kumpulan di pasaran berkenaan.

Strategi itu akan dipacu melalui kekuatan segmen perbankan runcit, komersial dan korporat, di samping memperluas saluran bankasurans sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Dari segi pengalaman pelanggan, Khairussaleh berkata pemilikan penuh MAHB akan membolehkan Maybank mengintegrasikan produk perbankan, insurans dan takaful dengan lebih menyeluruh supaya pelanggan dapat mengakses pelbagai perkhidmatan menerusi satu platform digital yang lebih lancar.

Beliau berkata kumpulan itu juga sedang melaksanakan pembaharuan teknologi secara menyeluruh bagi membangunkan ekosistem digital yang mampu memenuhi keperluan pelanggan mengikut segmen masing-masing.

Dalam aspek pembangunan produk, Etiqa akan terus memperluas portfolio, khususnya produk takaful, bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

"Masih terdapat ruang yang besar untuk memperkenalkan lebih banyak produk takaful berdasarkan peluang yang wujud dalam segmen konvensional. Pada masa sama, pembangunan produk akan terus dilaksanakan mengikut keperluan pelanggan," katanya.

Mengenai dividen, Khairussaleh berkata pemilikan penuh MAHB akan membolehkan nisbah pembayaran dividen syarikat insurans itu diselaraskan dengan lebih baik kepada strategi pengurusan modal kumpulan.

Bagaimanapun, beliau berkata dasar pembayaran dividen Maybank di peringkat kumpulan akan terus dikekalkan seperti yang diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA