Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Data Ekonomi Utama AS Dikeluarkan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menjelang data ekonomi utama AS dikeluarkan hari ini dalam ketegangan mereda di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0805/0900 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS bagi Julai akan diumumkan malam ini, dengan anggaran konsensus sebanyak 54.0, lebih tinggi daripada bacaan 53.3 yang dicatatkan pada Jun.

“Selain itu, ketidaktentuan mengenai konflik di Asia Barat turut menjejaskan sentimen pasaran, dengan harga minyak mentah Brent meningkat 4.59 peratus kepada US$88.10 setong.

“Presiden Donald Trump dilaporkan berkata pada hujung minggu lepas bahawa beliau telah membatalkan rancangan serangan ketenteraan terhadap Iran berikutan kedua-dua negara dijangka mencapai persetujuan mengenai program nuklear dan pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata pasaran kekal berhati-hati dan mata wang tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.07 dan RM4.09 hari ini.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar AS rendah selepas Trump membatalkan rancangan serangan ke atas Iran pada hujung minggu lepas.

Beliau berkata keputusan itu telah menyebabkan harga minyak dan jangkaan inflasi menurun, mendorong penurunan lengkung kadar faedah AS.

“Gabungan itu akan menyokong ringgit dan, secara lebih meluas, aset berisiko di seluruh Asia hari ini,” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5880/5942 daripada 2.5520/5548 semasa ditutup pada Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 4.7089/7199 daripada 4.6981/7027 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.5038/5166 daripada 5.4923/4977.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 226.4/227.0 daripada 226.6/226.8 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.2211/2558 daripada 12.2264/2435.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1844/1921 daripada 3.1823/1856 dan berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.68 daripada 6.66/6.67.

-- BERNAMA