BERITA TERKINI   Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | 

Ringgit Ditutup Mengukuh Susulan Kelemahan Data Ekonomi AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kelemahan data ekonomi negara maju itu yang di luar jangkaan.

Bagaimanapun, sentimen terhadap dolar AS kekal kukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah utama Rizab Persekutuan AS (Fed) pada September ini masih tidak berubah.

Ad Banner

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 4.0835/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0875/0930, sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan kenaikan kadar faedah itu masih bertahan walaupun data ekonomi AS lemah, sekali gus mengekang penyusutan berterusan nilai dolar berkenaan.

“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 AS adalah lebih rendah daripada jangkaan awal iaitu pada 1.5 peratus berbanding unjuran ramai pada 2.1 peratus.

Ad Banner

“Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang menjadi penunjuk inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed), menyederhana kepada 3.7 peratus pada Jun berbanding 4.1 peratus pada Mei,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5520/5548 daripada 2.5029/5064, rendah berbanding euro kepada 4.6981/7027 daripada 4.6863/6926 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4923/4977 daripada 5.4691/4764.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.2264/2435 daripada 12.1637/1852 semalam, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 226.6/226.8 daripada 225.7/226.0, turun berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.64/6.65 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1823/1856 daripada 3.1701/1746.

-- BERNAMA