BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

'Bailout' Tabung Haji 2018 Elak Pengeluaran Deposit, Krisis Pasaran Kewangan - TH

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) berkata pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 merupakan langkah penyelamatan kewangan (bailout) yang perlu bagi mengelakkan institusi itu daripada berdepan insolvensi, di samping melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan institusi berkenaan. 

Menurut TH, tanpa tindakan berkenaan institusi itu berisiko berdepan pengeluaran deposit secara besar-besaran yang boleh mencetuskan krisis pasaran kewangan serta menggugat kestabilan negara.

"Jurang antara aset dan liabiliti yang melebihi RM10 bilion pada akhir 2018 pada akhir 2018 berpotensi mencetuskan deposit run, sekali gus memaksa TH menjual aset pada harga terdesak bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit," kata TH dalam satu kenyataan.

Ad Banner

TH berkata pelan pemulihan itu berjaya menangani kerugian pelaburan sebanyak RM12.6 bilion, sekali gus mengembalikan institusi itu ke landasan kewangan yang lebih kukuh dan mampan.

Katanya, kadar Agihan Keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, di samping membolehkan TH mula membina semula rizab masa depan yang lebih stabil.

TH berkata kerajaan dan institusi ketika itu berdepan empat pilihan untuk melaksanakan pelan pemulihan dan penstrukturan dalam tempoh singkat sebelum akhir 2018, dan memilih menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya (solven). 

Ad Banner

"Syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) membeli aset-aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 billion untuk menutup defisit yang dihadapi dan membolehkan agihan keuntungan diisytihar bagi  2018.

"Transaksi ini dibiayai menerusi dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 peratus dan 4.10 peratus setahun," katanya.

Menurut TH, hasil pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan, tanpa campur tangan kerajaan.  

TH berkata kadar agihan keuntungan turut bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat daripada 1.25 peratus bagi 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus pada 2025. 

Agihan keuntungan itu dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada akhir 2018 atas faktor tertentu, menurut institusi itu.

"Kedudukan kewangan TH kini lebih kukuh dan institusi itu juga telah mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil. 

"Pelan pemulihan dan penstrukturan TH berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion merangkumi RM10 bilion melalui pelan pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung 2025," katanya. 

TH berkata institusi itu kekal komited melindungi kepentingan pendeposit, memperkukuh kepercayaan awam serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA