BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

RCI: Jaminan Kerajaan RM88 Bilion Perlu Diaktifkan Jika TH Gagal Pelan Pemulihan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jaminan kerajaan kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang kini bernilai RM88 bilion perlu diaktifkan sekiranya TH gagal melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH 2018, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan semalam, suruhanjaya itu berkata kerajaan perlu mengambil perhatian serius mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH 2018 bagi memastikan objektifnya tercapai.

“Jika LTH gagal, jaminan Kerajaan (seksyen 24 Akta 535) kepada pendeposit yang sekarang bernilai RM88 bilion terpaksa diaktifkan.

Ad Banner

“Dalam keadaan sedemikian, bukan sahaja TH akan menanggung akibatnya tetapi kedudukan kewangan kerajaan akan turut terjejas dan ini mengancam kestabilan sistemik kewangan negara,” menurut laporan itu. 

RCI turut berpandangan bahawa instrumen sukuk boleh diperkukuh sekiranya disokong jaminan kerajaan.

Secara keseluruhannya, suruhanjaya itu mendapati TH terdedah kepada risiko strategik yang boleh memberi kesan kepada ekosistem kewangan negara.

Ad Banner

Menurut laporan itu, isu yang dihadapi TH berpotensi membawa kepada krisis kewangan negara yang lebih besar dan memberi impak kepada keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta kemampanan pertumbuhan ekonomi negara serta kelangsungan TH melaksanakan fungsinya, jelas RCI.

“Suruhanjaya difahamkan bahawa tindakan segera perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat untuk memulihkan kedudukan kewangan TH sebelum berakhir tahun kewangan 2018,” katanya.

Sehubungan dengan itu, bagi menilai pelan pemulihan TH berkenaan, sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan yang dianggotai oleh wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan serta pengurusan kanan TH.

Jawatankuasa itu telah mempertimbangkan pelan yang efektif bersandarkan empat teras utama.

Bagi teras yang pertama, pelan itu perlu melindungi kepentingan hampir 9.3 juta pendeposit TH, di samping memastikan kelangsungan fungsi utama TH iaitu dalam pengurusan haji.

Pada masa sama, pelan tersebut perlu mengembalikan keupayaan TH mengagihkan keuntungan (hibah) kepada pendeposit selaras sepenuhnya dengan Akta Tabung Haji 1995.

Selain itu, pelan berkenaan juga perlu meminimumkan impak terhadap kedudukan fiskal negara serta mengelakkan sebarang risiko yang boleh menggugat kestabilan ekonomi, menurut suruhanjaya itu.

-- BERNAMA