Lagenda Kemuka Program Sukuk Wakalah RM1.5 Bilion Bagi Dana Pembangunan Perumahan

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Lagenda Properties Bhd (Lagenda), Lagenda Capital Bhd hari ini membuat penyerahan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan program nota jangka sederhana Islam (sukuk wakalah) bernilai RM1.5 bilion.

Program itu dilaksanakan berdasarkan prinsip syariah wakalah bi al-istithmar (program sukuk wakalah).

Pemaju hartanah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menjelaskan bahawa program sukuk wakalah itu akan menyediakan fleksibiliti pendanaan yang lebih baik kepada kumpulan tersebut bagi pembangunan perumahan mampu milik, modal kerja dan aktiviti pembiayaan. 

Ad Banner

Program sukuk wakalah dengan nilai nominal sehingga RM1.5 bilion, akan mempunyai tempoh matang yang berkekalan, manakala penerbitan setiap sukuk pula mempunyai tempoh minimum selama setahun dari tarikh terbitannya. 

Terbitan pertama itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh penyerahan atau dalam tempoh yang diluluskan oleh SC. 

Menurut Lagenda, hasil daripada program itu akan digunakan terutamanya sebagai pendahuluan syarikat patuh syariah dalam kumpulan tersebut bagi membiayai atau pembayaran balik pelaburan, pengambilalihan dan perbelanjaan modal, termasuk pengambilalihan tanah serta hak pembangunan untuk projek perumahan mampu milik. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dana tersebut juga akan digunakan untuk menyokong keperluan modal kerja, tujuan korporat am, membiayai semula kemudahan pembiayaan Islam dan konvensional sedia ada, membayar perbelanjaan berkaitan program sukuk serta menebus sukuk yang diterbitkan di bawah siri yang sama jika berkenaan. 

Tambahnya, kadar keuntungan yang terpakai bagi setiap siri sukuk wakalah mungkin sama ada tetap atau terapung, yang akan ditentukan sebelum penerbitan sukuk wakalah. 

Menurut Lagenda, program sukuk wakalah tidak memerlukan kelulusan kawal selia atau pemegang saham.

Sementara itu, Alliance Islamic Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program tersebut.  

-- BERNAMA