BERITA TERKINI   Sultan Nazrin cadang rangka kerja Tadbir Urus Wakaf Global sebagai prinsip teras yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf | Sultan Nazrin seru platform wakaf tunai digital diperluas untuk tingkat ketelusan | RUU Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia kini dikenali sebagai Jabatan Statistik selepas akta itu berkuat kuasa - Akmal Nasrullah | Kementerian Ekonomi unjur perbelanjaan pembangunan bagi 2027 sekitar RM58 bilion, 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan disasarkan kepada pembangunan asas - Akmal Nasrullah | Malaysia perlu bangunkan sistem pengurusan bencana udara bersepadu - TPM Ahmad Zahid | 

Kadar Pengangguran Kekal 3.0 Peratus Pada Mei 2026 - DOSM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3.0 peratus pada Mei, dengan merekodkan 513,400 jumlah penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasaran buruh negara menunjukkan peningkatan sederhana seiring dengan pertumbuhan ekonomi stabil, mencatatkan pertumbuhan guna tenaga konsisten serta kadar pengangguran kekal rendah, walaupun berdepan krisis gangguan rantaian bekalan global.

"Tenaga buruh terus menunjukkan momentum peningkatan pada bulan tersebut, naik 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.34 juta orang berbanding 17.33 juta orang bulan lepas.

Ad Banner

"Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2026 dengan pertambahan marginal 0.1 peratus, merekodkan 16.82 juta orang, manakala bilangan penganggur pula mencatat peningkatan 0.3 peratus mencecah 513,400 orang berbanding 511,800 orang pada April 2026.

"Dari perspektif sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan tersebut, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit; aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi meliputi sumbangan terbesar dalam guna tenaga. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Sektor utama lain, termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian, turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Mei 2026," katanya.

Menurut DOSM, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif dengan kumpulan ini meningkat 0.2 peratus kepada 408,000 orang berbanding 407,100 orang pada April 2026. 

DOSM juga memaklumkan pasaran buruh Malaysia dijangka terus kekal berdaya tahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang menggalakkan, aktiviti pelaburan berterusan serta kemajuan transformasi struktur ekonomi negara. 

"Walaupun ketidaktentuan luaran berpotensi mempengaruhi aktiviti pengambilan pekerja dalam industri tertentu, kedudukan pasaran buruh secara keseluruhannya dijangka terus stabil. 

"Usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti buruh, memperkukuh pengadaptasian tenaga kerja serta mempertingkatkan padanan antara penawaran buruh dengan permintaan industri akan terus menjadi faktor penting dalam mengekalkan peluang pekerjaan berkualiti dan menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA