BERITA TERKINI   Nahas FDS: Layang Layang Aerospace gantung operasi semua helikopter BO-105, pesawat guna enjin Rolls-Royce siri 250 serta-merta - CAAM | Nahas FDS: Helikopter miliki CoA sah hingga 4 Ogos 2027, sijil pendaftaran hingga 28 Julai 2029 - CAAM | Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) jalankan siasatan bebas, kenal pasti punca nahas helikopter FDS - CEO CAAM | Indeks Harga Rumah Malaysia pada separuh pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 27,832 unit kediaman baharu telah dilancar dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada separuh pertama 2026 - Amir Hamzah | 

Pasaran Harta Tanah Catat 187,320 Transaksi Bernilai RM105.12 Bilion Pada Separuh Pertama 2026 - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pasaran harta tanah kekal berdaya tahan dengan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion pada separuh pertama 2026, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata prestasi baik itu adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 6.0 peratus pada suku kedua. 

“Meskipun terdapat sedikit pelarasan marginal, pasaran harta tanah kekal teguh hasil daripada aktiviti transaksi dan pergerakan harga yang stabil serta aktiviti pembinaan yang aktif. 

Ad Banner

“Kestabilan ini dipengaruhi oleh dasar monetari negara apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada paras 2.75 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada pembiaya dan pembeli,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026 di sini hari ini. 

Beliau berkata sebanyak 27,832 unit kediaman baharu telah dilancarkan ke pasaran pada separuh pertama 2026, dengan prestasi jualan 16.6 peratus.

Amir Hamzah berkata Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada paras 234.7 mata dengan purata harga rumah RM506,317 seunit, merekodkan pertumbuhan tahunan marginal sebanyak 0.9 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

Pada masa yang sama, katanya pasaran harta tanah komersial turut menyokong ketahanan ekonomi makro apabila kadar penghunian purata keseluruhan pejabat binaan khas bagi swasta dan kerajaan meningkat kepada 78.5 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding 77.8 peratus pada separuh pertama 2025.

Beliau berkata bagi kompleks perniagaan, kadar penghunian keseluruhan kekal stabil pada paras 77.9 peratus di seluruh negara berbanding 78.7 peratus pada separuh pertama 2025. 

“Segmen harta tanah industri juga berkembang sebanyak 3.8 peratus dengan mencatatkan sebanyak 3,932 transaksi bernilai RM14.78 bilion. 

“Perkembangan ini selaras dengan pertumbuhan rancak sektor perkilangan negara yang berkembang sebanyak 7.3 peratus pada suku kedua 2026,” katanya. 

Sepanjang separuh pertama 2026, subsektor kediaman telah mendominasi 59.3 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi dengan mencatatkan 110,998 transaksi.

Dari segi nilai, subsektor kediaman menyumbang bahagian terbesar, iaitu 44.8 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi pasaran harta tanah berjumlah RM47.11 bilion. 

Di sebalik ketahanan pasaran itu, Amir Hamzah berkata sebanyak 33,094 unit kediaman siap belum terjual direkodkan dengan nilai keseluruhan RM17.78 bilion berbanding 30,471 unit bernilai RM17.73 bilion pada separuh pertama 2025.

Mengenai anggaran sektor harta tanah bagi separuh kedua 2026, katanya momentum positif dalam pasaran buruh, termasuk kadar pengangguran yang rendah dan peningkatan gaji dijangka terus menyokong permintaan dalam sektor hartanah negara bagi separuh kedua 2026.

Katanya langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup, termasuk pelaksanaan dasar gaji minimum dan inisiatif bantuan bersasar turut membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus mengukuhkan keyakinan pembeli rumah.

-- BERNAMA