Moneysave, Dewan Perniagaan Labuan Meterai MOU Bagi Inisiatif Pembiayaan PKS RM200 Juta
Oleh Jailani Hasan
KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Moneysave (M) Sdn Bhd dan Dewan Perniagaan Labuan (LCC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini untuk melancarkan inisiatif pembiayaan bernilai RM200 juta bagi meningkatkan akses perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dan Labuan kepada modal.
MoU yang dimeterai semasa Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) 2026 dijangka memperkukuh pertumbuhan perniagaan dan pembangunan industri melalui penyediaan kemudahan pembiayaan kepada syarikat di seluruh sektor strategik.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Moneysave Vincent Soh dan Presiden LCC Daniel Doughty dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Persidangan itu dihadiri kalangan pemimpin industri dan pelabur.
Moneysave merupakan platform pendanaan awam antara rakan setara (P2P) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Melalui kerjasama ini, perniagaan akan memperoleh akses kepada pelbagai penyelesaian pembiayaan termasuk pembiayaan projek, modal kerja, pembiayaan invois, pemfaktoran serta pembiayaan bagi pengembangan perniagaan.
Semua langkah itu membolehkan lebih banyak syarikat tempatan menyertai projek berskala besar dan meningkatkan daya saing jangka panjang mereka.
Inisiatif tersebut dijangka memberikan manfaat kepada PKS yang terlibat dalam sektor seperti minyak dan gas, logistik dan pengangkutan, perkhidmatan maritim, pembuatan, perkhidmatan sokongan pembinaan, tenaga boleh baharu serta perkhidmatan industri di Sabah dan Labuan.
Soh berkata Moneysave meyasarkan menjadikan pembiayaan lebih mudah diakses oleh perniagaan yang mempunyai potensi komersial tinggi namun sering mengalami cabaran dalam mendapatkan pembiayaan konvensional.
Beliau berkata pihaknya menawarkan kemudahan pembiayaan jangka pendek bagi RM500,000 hingga RM25 juta untuk tujuan modal kerja, pembiayaan penyambung, pembiayaan projek dan pemfaktoran invois.
"Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami menyasar pembiayaan sebanyak RM1 bilion di seluruh negara, dengan RM200 juta diperuntukkan khusus bagi menyokong perniagaan di Sabah dan Labuan," katanya kepada pemberita selepas pemeteraian MoU itu.
Sementara itu, Doughty menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi Sabah.
Beliau berkata akses pembiayaan yang lebih baik akan membolehkan lebih banyak PKS mengembangkan operasi masing-masing dan menyertai rantaian bekalan yang lebih besar.
Gabungan kekuatan ekosistem kewangan antarabangsa Labuan dan sektor industri, logistik, tenaga dan maritim Sabah yang semakin berkembang akan mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan, katanya.
Berdasarkan kerjasama itu, Moneysave dan LCC akan menganjurkan klinik pembiayaan, program khidmat nasihat perniagaan, forum pelaburan, sesi libat urus PKS, inisiatif padanan perniagaan serta program celik kewangan secara bersama-sama untuk meningkatkan kesediaan pembiayaan dan memudah cara pertumbuhan perniagaan.
Turut hadir pada majlis pemeteraian MoU itu ialah Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, yang turut mengalu-alukan kerjasama tersebut serta memuji LCC atas penyertaan berterusan dalam SOGCE.
Beliau berkata Labuan kekal sebagai rakan strategik dalam menyokong industri minyak dan gas Sabah menerusi kelebihannya dalam perkhidmatan kewangan, sokongan maritim, logistik dan pemudahan perniagaan
Beliau turut mengesahkan semula komitmen Perbadanan Labuan untuk memudah cara pelaburan dan kerjasama strategik.
Inisiatif pembiayaan RM200 juta itu dijangka dapat memperluas akses PKS kepada pembiayaan, mengukuhkan kapasiti industri dan rantaian bekalan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya tarikan pelaburan di Sabah dan Labuan.
-- BERNAMA