BERITA TERKINI   JPJ laksana pengecualian sementara fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai - MOF | BUDI Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip - MOF | PRN Johor: Pastikan budaya berkempen dilaksanakan secara sihat berasaskan fakta, bukannya fitnah - Fahmi | HBH: Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif, tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan - JPA | Hari Bekerja Hibrid inisiatif baharu pengaturan kerja lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa kurangkan waktu bekerja - JPA | 

Aeronas Aerocraft Terima Tempahan 50 Pesawat Ringan Dari Hong Kong Bernilai RM357 Juta

SERDANG, 26 Jun (Bernama) -- Pengeluar pesawat ringan Malaysia, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd telah menerima tempahan terkumpul sebanyak 50 unit pesawat ringan bernilai US$85 juta (RM357 juta) daripada syarikat berpangkalan di Hong Kong, Consortium Wholechoice. 

Pengarah Urusan dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra berkata sebanyak 30 pesawat model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II dengan kapasiti enam tempat duduk telah disahkan pembelian.

"Sementara itu, tambahan 20 unit pesawat lagi dijangka dimuktamadkan menjelang September tahun ini.

Ad Banner

"Penghantaran pertama sebanyak 15 pesawat dijadualkan bermula secara berperingkat pada suku pertama dan suku kedua 2027 bagi menyokong pembangunan operasi sekolah penerbangan dan pajakan pesawat Consortium Wholechoice di rantau Asia," katanya pada sidang media dan majlis pertukaran dokumen Aeronas hari ini.

Perjanjian itu turut menyaksikan pelantikan Wholechoice sebagai pengedar serantau pertama bagi pesawat keluaran Aeronas sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia memperluas pasaran ke negara lain di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Aeronas Suhaimi Halim berkata pada masa ini syarikat itu sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dari Singapura, Hong Kong dan China untuk mendapatkan lebih banyak tempahan yang disahkan, terutama daripada peniaga pesawat dan bank pelaburan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Mereka akan memperkenalkan program pajakan pesawat masing-masing dan menawarkannya kepada pelanggan, yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat penerbangan serta operator pesawat di luar Malaysia," katanya sambil memaklumkan 90 peratus daripada nilai perolehan kontrak daripada pelanggan luar negara.

Beliau berkata Aeronas turut menyasarkan untuk mengembangkan operasinya di dalam negara menerusi pembinaan sebuah kilang pembuatan pesawat berskala penuh yang mampu menghasilkan sehingga 180 pesawat setahun.

Menurutnya syarikat itu telah menerima beberapa tawaran tanah daripada kerajaan negeri, termasuk Sabah, Selangor, Kedah dan Pahang bagi memudahkan pembangunan kemudahan pembuatan berkenaan.

-- BERNAMA