Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Untuk Hari Ketiga Susulan Kelemahan Harga Minyak Mentah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah untuk dagangan hari ketiga berturut-turut, dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata harga minyak mentah meneruskan penurunan pada Khamis berikutan kapal tangki yang sebelum ini terkandas, kembali melalui Selat Hormuz.
Menurutnya keadaan ini susulan persetujuan awal untuk menamatkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang sekali gus meredakan kebimbangan mengenai bekalan.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 1.42 peratus kepada US$72.69 setong.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas dengan jangkaan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang lebih kukuh walaupun kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya fenomena Super El-Nino semakin meningkat.
“Peningkatan kira-kira lima peratus pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 20 Jun telah menepis kebimbangan bahawa Super El-Nino yang berpotensi berlaku akan menjejaskan pengeluaran.
“Data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran minyak sawit di kilang wilayah selatan Semenanjung Malaysia meningkat kira-kira 16 peratus dalam tempoh sama, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai potensi kesan Super El-Nino,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2026 susut RM62 kepada RM4,513 satu tan manakala Ogos 2026 menyusut RM69 kepada RM4,535 dan September 2026 rendah RM76 kepada RM4,557.
Kontrak Oktober 2026 pula berkurangan RM80 kepada RM4,579 satu tan, November 2026 turun RM85 kepada RM4,599 dan Disember 2026 susut RM86 kepada RM4,623.
Jumlah dagangan meningkat kepada 120,463 lot berbanding 63,067 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 285,853 kontrak daripada 286,122 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan susut RM60 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA